Ulasan Nothing Phone (3) – Tidak Cukup Padu Untuk Harga Mercu

TechnologyDigital
11 Jul 2025 • 8:47 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Penantian selepas 2 tahun untuk peranti mercu dari Nothing sudah berakhir dengan kehadiran Nothing Phone (3). Peranti ini merupakan telefon mercu sebenar daripada Nothing yang menawarkan beberapa elemen rekaan terbaru dan juga ciri-ciri mercu sebenar tapi sebenar ia tidak cukup mercu untuk harga yang Nothing tawarkan. Dalam artikel ulasan ini saya akan mengupas dengan lebih lanjut.

image is not available

Spesifikasi Dan Rekaan

Nothing Phone (3)
Skrin6.67″ Flexible AMOLED, 120Hz, 4000 nits
1260 x 2800 piksel, 20:9 (460 PPI)
PemprosesSnapdragon 8s Gen 4 (4 nm)
Cip1 x 3.21 GHz Cortex-X4
3 x 3.0 GHz Cortex-A720
2 x 2.8 GHz Cortex-A720
2 x 2.0 GHz Cortex-A720
Cip GrafikAdreno 825
RAM16GB RAM
Muatan Dalaman512GB
(tiada kad mikroSD)
Kamera Utama50MP Lensa Utama, PDAF, OIS
50MP Periskop Telephoto, OIS
50MP Ultra lebar
Kamera Depan50MP (lebar)
BateriSi / C 5150 mAh
Berwayar 65W
Nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano
eSIM
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanImbasan cap jari
Imbasan wajah
Harga JualanRM3299 (12/256GB)
RM3799 (16/512GB)

Jika anda menonton pelancaran Nothing Phone (3) di Youtube, mesti anda akan perasan yang ramai agak kecewa dengan rekaan yang dibawakan oleh Nothing untuk peranti mercu mereka ini dan ramai yang menganggap model ini masih lagi di dalam fasa prototaip. Bagi saya sendiri, rekaan ini sememangnya menunjukkan identiti Nothing tapi ia terasa agak melampau. Sebelum dilancarkan secara rasmi, saya berharap yang gambar rekaan yang tertiris adalah palsu dan malangnya ia menjadi realiti. Saya tiada isu yang terlalu besar pada rekaan ini cuma kalau Nothing memperbaiki sedikit sahaja kedudukan kamera ia sudah cukup memadai. Namun harus diakui, dengan rekaan sebegini ia akan membuatkan mata sekeliling memandang

image is not available

Selain rekaan kameranya, Nothing juga menambah elemen baharu dalam rekaan ini iaitu Glyph Matrix yang menggantikan lampu Glyph pada siri Nothing Phone terdahulu. Glyph Matrix ini lebih interaktif berbanding dengan lampu Glyph dahulu kerana pengguna dapat mengetahui pelbagai maklumat melalui paparan 489 mikro LED ini. Pelbagai pemperibadian boleh dilakukan untuk notifikasi menggunakan Glyph Matrix ini dan ianya amat menarik sekali kerana banyak icon yang boleh dipilih atau boleh letakkan gambar sendiri.

image is not available

image is not available

Selain itu, Glyph Matrix ini juga hadir dengan ciri Glyph Toys yang terdiri daripada beberapa alat interaktif dan permainan mini. Glyph Toys ini boleh diaktifkan menggunakan butang kapasitif khas yang terletak di panel belakang. Saya rasakan ciri ini agak menarik untuk pengguna walaupun dalam kebanyakan masa mungkin anda tidak akan menggunakannya.  

image is not available

Phone (3) ini mempunyai ketebalan 8.99mm namun di dalam tangan, Phone (3) ini terasa sangat kukuh dan premium kerana menggunakan bahan aluminium pada bingkai dan kaca pada bahagian belakang. Saya pernah pegang sendiri Nothing Phone (2) dan pengalaman dari memegang kedua-dua peranti ini amat berbeza kerana saya terasa yang Phone (2) itu seakan peranti kelas pertengahan mereka seperti siri Phone (3a), ternyata Nothing sudah buat banyak penambahbaikan pada kualiti binaan peranti ini . Apa yang paling penting, Nothing Phone (3) ini sudah mempunyai penarafan IP68, ini jauh lebih baik berbanding IP54 yang ada pada Phone (2) dahulu. 

image is not available

Seperti kebiasaan peranti Nothing, pada sisi kanan peranti menempatkan butang kuasa dan Essential Key. Manakala, sisi kiri pula hanya terdapat butang aras suara. Port pengecasan USB-C, slot sim dan speaker berada di bahagian bawah peranti, hanya speaker yang kedua sahaja terletak di bahagian atas. Secara ringkasnya, rekaan Phone (3) sememangnya luar dari kotak dan unik yang mungkin susah diterima sesetengah dan disukai oleh beberapa pihak yang lain. 

Skrin

Skrin yang terdapat pada Phone (3) ini mempunyai beberapa penambahbaikan dan juga kelemahan. Ia menggunakan panel flexible AMOLED yang sama seperti beberapa siri Nothing Phone sebelum ini, mempunyai resolusi 1.5K yang lebih baik, sokongan HDR10+ dan kadar segar semula 120Hz. Walaupun ini adalah peranti mercu sebenar dari Nothing, ia tidak menggunakan panel LTPO yang bagi saya agak mengejutkan dan hanya menggunakan perlindungan Corning Gorilla Glass 7i yang sama seperti beberapa peranti pertengahan di luar sana. 

image is not available

Walaupun begitu skrin yang dibekalkan ini sangat-sangat baik malah ini merupakan skrin paling cerah oleh Nothing dengan tahap keterangan 1600nits sehingga 4000nits untuk paparan HDR. Warna yang dihasilkan pun sangat baik dan saya tidak terkejut kerana Nothing sentiasa memberikan kualiti skrin yang bagus pada peranti mereka. Bezel yang terdapat pada skrin ini juga semua sekata menjadikan pengalaman untuk kegunaan media, menonton filem atau bermain permainan mudah alih lebih mengasyikkan. 

image is not available

Prestasi

Antara bahagian yang menjadi bualan hangat orang ramai tentang Phone (3) ini adalah penggunaan cip pemprosesnya. Nothing memilih cip Snapdragon 8s Gen 4 untuk dimuatkan di dalam peranti ini. Cip ini turut dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5X dengan storan 512GB UFS 4.0. Penggunaan harian biasa malah sesi permainan yang berat cip ini tiada masalah untuk memberikan prestasi yang baik. 

image is not available

Sebagai perbandingan, saya memilih iQOO Neo10 yang turut menggunakan cip yang sama, HONOR 400 Pro (Snapdragon 8 Gen 3) dan Realme GT7 (Dimensity 9400e). 

Antutu 3D

  • Nothing Phone (3) – 1,891,347
  • iQOO Neo10 – 2,012,925
  • HONOR 400 Pro – 1,861,573
  • Realme GT7 – 2,131,975

Geekbench 6

  • Nothing Phone (3) – 2107/6429
  • iQOO Neo10 – 2109/6858
  • HONOR 400 Pro – 2024/6083
  • Realme GT7 – NA

3D Mark Wildlife Extreme

  • Nothing Phone (3) – 4207
  • iQOO Neo10 – 3480
  • HONOR 400 Pro – 4467
  • Realme GT7 – 5377

image is not available

Cip Snapdragon 8s Gen 4 ini sememangnya berkuasa dan mampu menampung beban yang diberikan dengan baik. Prestasinya untuk penggunaan harian biasa tidak perlu disangkalkan lagi malah untuk beberapa permua seperti PUBG, Mobile Legends dan CarX Street mampu dimainkan dalam tetapan sederhana ke tinggi. Peranti ini hanya terasa memanas yang agak ketara ketika melakukan ujian penanda aras sahaja.

Walaupun peranti dari Nothing ini tidak terlalu memfokuskan kepada prestasi tapi dengan penggunaan cip Snapdragon 8s Gen 4 ini tiada masalah untuk melakukan tugasan yang ringan, berat ataupun beberapa kerja professional.

Pengalaman Penggunaan – Nothing OS 3.5

Selain penggunaan cip yang berkuasa, kelancaran pada Phone (3) ini juga turut disumbangkan oleh Nothing OS 3.5 yang terbaru. Selepas setahun menggunakan Nothing Phone (2a), saya sudah makin selesa dengan sistem operasi dari Nothing ini. Namun pada Phone (3), sistem operasi ini terasa lebih lancar dan pantas. Walaupun hakikatnya, tiada banyak perubahan dari Nothing OS 3.2 yang ada pada CMF Phone 2 Pro sebelum ini. Nothing OS 3.5 ini masih mengekalkan DNA Nothing dengan pelbagai pemperibadian dan juga widget yang boleh digunakan. 

image is not available

Seperti siri Phone (3a) dan CMF Phone 2 Pro, Phone (3) ini juga datang dengan ciri Essential Space. Ciri ini membolehkan pengguna membuat nota ataupun peringatan dengan bantuan AI. Kebanyakan fungsinya masih sama dengan peranti Nothing sebelum ini, cuma Nothing hanya menambah fungsi Flip To Record. Saya masih lagi tidak menggunakan Essential Space dengan sepenuhnya dan hanya keadaan tertentu sahaja yang saya akan gunakan ciri ini. 

image is not available

Ciri terbaru yang ada pada Nothing OS 3.5 ini adalah Essential Search. Ia boleh diakses melalui bar carian yang terdapat di laci aplikasi. Dengan ciri ini, pengguna boleh terus mencari atau menanya tentang sesuatu tanpa masuk ke dalam aplikasi lain seperti Google atau Chat GPT. Setelah beberapa hari penggunaan, saya sering terlupa yang ciri ini wujud dan masih menggunakan Google untuk mencari maklumat. 

image is not available

Perkara baik mengenai Phone (3) kali ini adalah mengenai sokongan android, ia datang dengan 5 tahun kemas kini versi Android dan 7 tahun untuk tampalan sekuriti. Ini merupakan jumlah kemas kini paling banyak yang Nothing pernah berikan dan ini juga dapat menjamin penggunaan jangka masa lama untuk Phone (3) ini. 

Kamera 

Kamera pada Nothing Phone (3) ini dilengkapi dengan tiga lensa 50MP iaitu kamera utama f/1.6 dengan OIS, lensa periskop telephoto f/2.7 dan juga lensa ultra lebar f/2.2. Kamera swafoto juga turut menggunakan lensa 50MP f/2.2. Sejujurnya, saya ada harapan yang agak tinggi untuk kemampuan kamera pada Phone (3) kerana hasil gambar pada siri Phone (3a) agak memuaskan apatah lagi hasil gambar dari peranti mercu mereka. 

image is not available

Disebalik susunan kamera yang tidak simetri ini, hasil gambarnya agak baik namun ada beberapa perkara yang pelik sedikit. Pada waktu cerah atau cahaya yang cukup warna dihasilkan melalui teknologi TrueLens Engine 4 ini sangat baik kerana ia tidak terlalu pekat dan tidak terlalu natural cuma kadang kala gambar ternampak sedikit lembut selepas diproses. 

image is not available

image is not available

image is not available

Lensa periskop telephoto pada Phone (3) sebenarnya hampir sama dengan Phone (3a) Pro yang dilancarkan beberapa bulan lepas. Ia mempunyai zum optikal 3 kali dan 6 kali untuk zum digital dengan zum maksimum sehingga 60 kali tapi sudah tentu gambar pada jarak itu tidak boleh digunapakai. Hasil gambar, lensa periskop telephoto ini amat memuaskan kerana ia nampak tajam dengan keperincian yang baik pada zum 3x sehingga 6x lebih dari itu ia sudah mula kurang tajam dan kesan hingar yang jelas

image is not available

image is not available

image is not available

Gambar mod malam juga agak baik kerana kawalan cahaya tidak terlalu melampau dan dapat memberikan kualiti gambar yang tajam tapi akan beberapa bahagian juga yang ternampak sedikit lembut. 

image is not available

image is not available

image is not available

Secara keseluruhannya, kamera pada Nothing Phone (3) ini agak baik namun bagi saya ia bukanlah dalam taraf peranti mercu seperti Oppo Find X8, OnePlus 13 atau siri vivo X200. Kemampuan kameranya untuk saya hanya berada di dalam kelas pertengahan premium sahaja.

Bateri

Bateri merupakan peningkatan besar yang ada pada Phone (3) ini kerana ia dimuatkan dengan bateri bersaiz 5150mAh lebih besar dari Phone (2). Kini ia juga menggunakan teknologi bateri silicon carbon setanding dengan beberapa peranti lain diluar sana meskipun kapasitinya agak kecil. Saiz bateri yang kecil ini tidak terlalu menjejaskan presatasi baterinya kerana saya dapat menggunakan peranti ini dalam 7 ke 8 jam SOT.

image is not available

Dari segi pengecasan juga mempunyai peningkatan yang baik, dimana Phone (3) kini menyokong pengecasan pantas 65W secara berwayar dan pengecasan nirwayar 15W. Dengan kelajuan pengecasan yang meningkat ini, ia hanya mengambil masa sekitar 1 jam untuk satu pengecasan penuh. 

Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:

  • 1 x Nothing Phone (3).
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-C Lutsinar
  • 1 x Kerangka Silikon .
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM Lutsinar.

image is not available

Kesimpulan

Jadi, adakah penantian selama 2 tahun untuk Nothing Phone (3) ini berbaloi ? Saya sendiri juga agak susah untuk menjawab persoalan ini kerana apa yang Nothing tawarkan pada Phone (3) ini sememangnya ada peningkatan berbanding Phone (2) namun peningkatan yang ada ini saya rasakan tidak cukup untuk Phone (3) ini bersaing dengan peranti mercu lain. 

image is not available

Saya tolak tepi bab rekaan kerana ianya subjektif namun dengan harga bermula RM3299 anda hanya mendapat prestasi ‘setengah mercu’ sahaja dan kemampuan kamera yang hanya lebih baik dari peranti pertengahan mereka. Saya boleh katakan yang Nothing Phone (3) produk niche untuk peminat-peminat mereka dan bukan untuk semua orang. Jika anda ingin satu peranti yang mempunyai rekaan yang sangat unik, tidak terlalu hiraukan tentang prestasi dan hanya inginkan kualiti kamera yang berfungsi dengan baik, anda boleh pertimbangkan Nothing Phone (3) ini.

Kelebihan

  • Rekaan Unik.
  • Paparan berkualiti dan cantik
  • Bateri dengan ketahanan yang baik.
  • Pengecasan pantas 65W dan nirwayar 15W.
  • Dilengkapi dengan penarafan IP68.
  • Nothing OS 3.5 yang sangat lancar.

Kekurangan

  • Rekaan terlampau unik.
  • Kamera tidak begitu istimewa
  • Skrin bukan LTPO
  • Harga yang agak tinggi.

image is not available