
RANAU: Penduduk atau pemilik tanah yang menerima notis berkaitan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di kawasan mereka diminta agar tidak panik, dan segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya menasihatkan mereka yang terlibat supaya menghubungi Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mendapatkan penjelasan.
“Proses ini sedang berjalan dengan aktif dan kami juga meminta penduduk atau pemilik tanah terlibat agar tidak panik apabila menerima notis tersebut,” katanya semasa lawatan kerja dua hari ke Kundasang, Ranau serta tapak projek Pan Borneo WP33-WP35, pada Ahad dan Isnin.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Pakej WP33 melibatkan Kg Lumou Baru ke Kg Toupos (19.5km), WP34 dari Kg Toupos ke Kg Nabutan (24.2km), dan WP35 dari Kg Nabutan ke Ranau (26.5km).
Shahelmey berkata, sebanyak 51 notis telah dikeluarkan kepada pemilik tanah di pakej WP33, lebih 100 notis di WP34 dan jumlah terbanyak dikeluarkan bagi WP35.
Beliau menambah bahawa JKR dan kontraktor pelaksana sedang giat berinteraksi dengan penduduk kampung untuk menjelaskan proses dan langkah dalam pengambilan tanah.
“Kita telah membahagikan kawasan kepada dua, iaitu kawasan yang tidak melibatkan pengambilan tanah, di mana kontraktor pelaksana boleh menjalankan tinjauan tapak, kerja pembersihan dan pembinaan jajaran;
“Manakala kawasan yang melibatkan pengambilan tanah, perlu diadakan proses penyerahan notis terlebih dahulu sebelum kerja-kerja lain dapat dijalankan,” katanya.
Mengenai lawatan tersebut, beliau berkata semuanya berjalan mengikut jadual dan berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar hingga siap sepenuhnya.
“Hari ini, saya bersama delegasi dari Kementerian Kerja Raya Negeri Sabah dan JKR Sabah mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan tiga pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah, iaitu Pakej WP35, WP34 dan WP33.
“Daripada hasil lawatan dari awal pagi hingga tengah hari, kita dapat melihat perkembangan kerja-kerja yang sedang dijalankan,” katanya.
Setakat ini, katanya, kerja-kerja yang sedang giat dilakukan meliputi kerja-kerja awal dan pembersihan tapak serta penyerahan notis kepada premis atau tanah yang terlibat.
Shahelmey juga berkata, ini termasuk kerjasama dalam penilaian pokok dan tanaman untuk tujuan pampasan.
“Melihat kepada status semasa, saya yakin kita mampu melaksanakan projek ini mengikut jadual.
“Tetapi yang paling penting ialah kerjasama semua pihak, termasuk JKR, perunding, kontraktor pelaksana serta jabatan berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Ukur, utiliti dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut menggesa JKR dan kontraktor untuk sentiasa mengkaji sebarang isu yang boleh menyebabkan kelewatan atau mengganggu kelancaran projek.
Shahelmey juga mengingatkan semua pihak terlibat supaya tidak hanya menumpu kepada kerja pembinaan semata-mata tetapi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan jalan sepanjang tempoh pembinaan turut dijalankan dari semasa ke semasa.
Ini kerana kerja-kerja pembinaan mungkin menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan raya, justeru keadaan jalan mesti dipastikan selamat.
“Semua kontraktor yang terlibat mesti memastikan sebarang lubang jalan atau permukaan jalan yang tidak rata diselenggara dengan baik,” katanya.
Lawatan beliau turut meliputi tapak cadangan pembinaan jambatan di SMK Kundasang, projek naik taraf Jalan Kundasang-Kauluan-Pinausok sepanjang 4.85km (Jalan Alternatif Kundasang-Ranau) serta Skim Pembetungan Ranau (JPPS).

