NTW 2026 perkasa pekerja, tingkat kemahiran tenaga kerja negara

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 12:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: NTW 2026 perkasa pekerja, tingkat kemahiran tenaga kerja negara

PERMATANG PAUH: Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2026 bukan sekadar platform meningkatkan kemahiran tenaga kerja, malah menjadi manifestasi komitmen kerajaan dalam mengangkat martabat golongan pekerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga memperluas peluang latihan dan memastikan kemahiran rakyat terus diperkasa tanpa berpuas hati dengan pencapaian semasa.

Beliau berkata, penganjuran NTW menjadi antara usaha untuk melahirkan tenaga kerja lebih berkemahiran, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang.

”Program NTW turut memberi peluang kepada golongan pekerja, pencari kerja serta anak muda mendapatkan pendedahan kepada pelbagai latihan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan mereka untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.

”Mengapa kita adakan NTW? Saudara lihat di luar (ruang pameran dan aktiviti NTW), semua didedahkan, semua peluang-peluang latihan. Pergi, catat apa yang diperlukan, bagi pandangan, bagi teguran, bagi kritikan. Kita perbaiki kelemahan yang ada dan pastikan tiada kelompok yang tertinggal,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kemuncak NTW 2026 di sini hari ini.

NTW 2026 berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di Permatang Pauh. Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Anwar berkata, NTW diwujudkan bagi membuka akses seluas-luasnya kepada rakyat untuk meneroka pelbagai peluang latihan ditawarkan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing tenaga kerja negara.

Beliau menggesa orang ramai supaya memanfaatkan platform NTW dengan mengemukakan pandangan, teguran dan cadangan kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan HRD Corp. bagi menambah baik sistem latihan negara.

”Saya tidak datang mengatakan kita ada jawapan kepada semua masalah tetapi kita mampu memulakan perubahan. Kita boleh lakukan yang lebih baik apabila bekerja bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menyokong segala usaha Kesuma dan HRD Corp. dalam memperkasa latihan kemahiran untuk golongan muda serta rakyat.

”Saya juga menyeru golongan muda agar terus bekerja keras, meningkatkan kompetensi serta bersama-sama merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju, berdaya saing dan disegani di peringkat serantau serta Asia,” katanya.

Anwar berkata, walaupun Malaysia mencatat pelbagai pencapaian membanggakan termasuk nilai ringgit yang kukuh, kemasukan pelaburan tertinggi dalam sejarah dan pertumbuhan ekonomi antara terbaik di ASEAN, usaha memperkukuh keupayaan modal insan mesti terus menjadi keutamaan negara.

Beliau berkata, kejayaan ekonomi yang dikecapi hari ini perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat, khususnya melalui akses kepada latihan berkualiti, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan lebih baik.

”Kita tidak harus semata-mata puas hati dengan pencapaian sekarang, walaupun dipaparkan pelbagai kejayaan. Kita mesti terus mengangkat martabat golongan pekerja dan memberi mereka ruang untuk meningkatkan keupayaan,” katanya. – UTUSAN

The post NTW 2026 perkasa pekerja, tingkat kemahiran tenaga kerja negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved