
PETALING JAYA, 24 OGOS: Di sebalik kelancaran operasi harian Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, Nur Atiqah Norhaizad antara yang menyumbang kepakaran mastikan deretan mesin dan peralatan depoh sentiasa dalam keadaan baik.
Sejak hampir tiga tahun lalu, wanita berusia 28 tahun ini menjadi srikandi tunggal dalam pasukan empat juruteknik Unit Peralatan Depoh Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), mengimbangi kudrat lelaki demi memastikan setiap inci jentera berfungsi tanpa gagal.
“Tugas saya ialah menjaga semua mesin dan kelengkapan di depoh serta perlu memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik sebelum digunakan untuk kerja penyelenggaraan tren.
“Antara peralatan di bawah jagaan saya ialah mobile lifting jack yang digunakan bagi mengangkat tren apabila terdapat komponen di bahagian bawahnya perlu diganti atau dibaiki,” katanya ketika ditemui di Kompleks Rapid Rail Subang, Ara Damansara, baru-baru ini.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu memulakan langkah dalam bidang teknikal menerusi Diploma Kejuruteraan Mekanikal daripada Kolej Vokasional Taiping, Perak sebelum menimba pengalaman hampir lima tahun dalam sektor pembuatan serta elektronik dan kemudian menyertai Rapid Rail.
Nur Atiqah berkata pasukannya menjalankan pemeriksaan pencegahan pada waktu pagi manakala kerja pembaikan yang memerlukan tempoh panjang dilaksanakan pada sebelah petang menerusi sistem dua syif iaitu 8 pagi hingga 4.30 petang serta 2.30 petang hingga 11 malam.
Menurut wanita yang berasal dari Ampang, Selangor itu, pengalaman mengendalikan mesin membolehkannya mengesan masalah menerusi bunyi luar biasa, kod ralat yang tertera pada panel kawalan atau perubahan fizikal pada peralatan.
“Apabila sudah biasa dengan mesin, kita boleh mengetahui ada sesuatu yang tidak kena melalui bunyi atau kod ralat pada panel, selain melihat keadaan fizikalnya,” katanya.
Namun, beliau mengakui mesin underfloor wheel lathe yang digunakan untuk menyelenggara roda tren kekal sebagai cabaran terbesar kerana kerumitan sistemnya yang saling berhubung.
“Mesin itu mengambil masa lama untuk dibaiki dan kita tidak dapat menjangka bila kerosakan akan berlaku kerana tidak boleh memeriksa satu bahagian sahaja, sebaliknya perlu melihat keseluruhan mesin yang saling berhubung,” katanya.
Sekiranya berlaku kerosakan, beliau dan pasukannya akan merujuk kod ralat serta manual mesin untuk mengenal pasti punca sebelum melaksanakan pembaikan, manakala bantuan kontraktor akan ditagih jika masalah itu tidak dapat diselesaikan secara dalaman.
Keberanian Nur Atiqah turut diuji di luar zon selesa apabila beliau menyertai operasi pemulihan mencabar membabitkan sebuah tren yang terkeluar dari landasan pada jam 2 pagi.
“Saya dan pasukan pergi ke lokasi untuk mengenal pasti kerosakan serta membawa peralatan bagi memasukkan semula tren ke landasan sebelum tren itu dibawa kembali ke depoh untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Nur Atiqah berkata pengalaman sedemikian, ditambah peluang mengikuti latihan serta sokongan rakan sepasukan, membolehkannya terus meningkatkan pengetahuan dan menguasai pelbagai peralatan sepanjang berkhidmat di situ.
“Dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang, saya berharap sudah menjadi juruteknik kanan yang mempunyai lebih banyak ilmu dan mampu menjadi juruteknik mahir,” katanya.

![[VIDEO] Tren LRT Kelana Jaya berhenti kecemasan, penumpang cemas bau asap](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/tren-lrt-1024x639.jpeg)
![[VIDEO] ‘Sejengkal pun tak lepas, padat sungguh LRT pagi ni’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LRT-SESAK-PAGI-1024x768.jpeg)

![[VIDEO] ‘Entah kenapa LRT bunyi macam geseran kuat’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-13-at-11.12.58-AM-1024x768.jpeg)

