NurAI Dilancarkan Secara Rasmi – Aplikasi AI Menjawab Kemusykilan Tentang Agama Islam

LocalTechnology
12 Aug 2025 • 1:06 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Semalam kami telah melaporkan bahawa Zetrix AI, sebuah syarikat pembangun perkhidmatan digital yang dahulunya dikenali sebagai MyEG telah membangunkan perkhidmatan AI baru yang memfokuskan terhadap menjawab kemusykilan berkenaan agama Islam yang dinamakan NurAI.

Walaupun kami memperlihatkan bahawa NurAI hadir melalui pelayar web dan aplikasi Android dan iOS semalam, aplikasi tersebut dilancarkan secara rasmi pada hari ini, dan telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.

image is not available

Platform ini menawarkan panduan yang selaras dengan hukum Syariah dalam pelbagai bidang, merangkumi spektrum subjek yang luas, daripada topik kontemporari seperti perundangan, penjagaan kesihatan dan kewangan, hinggalah kepada ilmu teras Islam yang meliputi sejarah, falsafah Islam dan pengajian al-Quran.

image is not available

Seperti yang kami laporkan semalam, asas kepada perkhidmatan NurAI ini ialah model bahasa raya DeepSeek v3 yang dibangunkan menggunakan set data khusus untuk memastikan bahawa maklumat yang disampaikan kepada pengguna adalah sahih dan tidak menghadapi isu umum penggunaan AI seperti halusinasi dan pengeluaran maklumat palsu.

image is not available

Pasukan pembangunan NurAI akan membentuk kerangka penyelarasan Syariah dengan kerjasama badan agama utama, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (“JAKIM”), Majlis Ulama Indonesia (“MUI”), Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (“IIFA”), dan Universiti Al-Azhar di Mesir.

Oleh kerana projek NurAI ini merupakan satu kolaborasi besar diantara tiga buah negara, NurAI ditawarkan dalam sokongan bahasa Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

image is not available

NurAI juga hadir dengan dua mod pertanyaan, iaitu Tanya NurAI yang akan memberikan anda jawapan lengkap beserta contoh-contoh yang terbaik untuk menjawab pertanyaan anda dengan cepat, dan juga Tanya Ustaz, yang boleh dilihat sebagai sebuah ciri eksperimentasi dimana ia menggunakan ilmu, pengetahuan dan cara percakapan ilmuan-ilmuan terkenal dari Malaysia, Indonesia dan juga Mesir. Jawapan yang diperlihatkan melalui Tanya Ustaz juga dilihat lebih santai berbanding Tanya NurAI.

image is not available

Pengguna boleh menanyakan pelbagai soalan lazim berkenaan agama kepada NurAI secara percuma dan tanpa had. Untuk NurAI menjana pendapatan daripada perkhidmatan ini, langganan perkhidmatan NurAI Plus dan NurAI Pro diperkenalkan yang turut menawarkan fungsi-fungsi tambahan seperti kalkulator faraid dan panduan bioetika perubatan moden.

Pelancaran aplikasi AI NurAI boleh dilihat sebagai fasa pertama dalam pelancaran keseluruhan perkhidmatan ini. Di fasa kedua akan datang, tumpuan akan beralih kepada integrasi institusi menerusi model B2B dan B2G. Dalam fasa ini, NurAI akan ditawarkan kepada institusi kewangan Islam, platform fintech, agensi pensijilan halal dan institusi perundangan Syariah.