Zetrix atau dulunya dikenali dengan nama MyEG, kini hadir dengan penawaran terbaru mereka kepada pengguna khususnya yang beragama Islam, dinamakan NurAI. NurAI dikatakan dilatih berasaskan kepada model bahasa raya DeepSeek V3.

NurAI ditawarkan dalam bentuk beta buat masa ini, dan untuk tempoh dua minggu ini, ia ditawarkan secara percuma sepenuhnya. NurAI memfokuskan kepada menjawab kepada pertanyaan melibatkan nilai-nilai Islam, dan mengintegrasikan input dariapda Quran dan fatwa pejabat mufti dalam menjawabnya. Ia juga turut disesuaikan dengan konteks Malaysia. Melalui ujian kami menggunakan NurAI, ia dilihat diterhadkan kepada pertanyaan melibatkan agama Islam sahaja, dan tidak menjawab pertanyaan yang lain.


NurAI boleh berinteraksi dalam bahasa Malaysia, Arab, Inggeris dan juga Indonesia. Beberapa percubaan kami turut memperlihatkan penggunaan terma Indonesia dalam balasan bahasa Malaysia. DIbawah platform berkenaan juga, ia dibahagikan kepada dua, iaitu NurAI yang memberikan pandangan berdasarkan fatwa Malaysia, sementara UstazAI pula merujuk sumber yang lebih luas dan pelbagai mazhab. NurAI juga menggunakan bahasa Malaysia sebagai dominan, sementara UstazAI lebih fleksibel dari segi bahasa. UstazAI juga adalah terhad kepada pelanggan berbayar NurAI sahaja.
Dari segi antaramuka, NurAI boleh ditambah-baik lagi, dan menjadikannya lebih moden berbanding apa yang ditawarkan pada hari ini. Disamping itu, penggunaannya juga terhad kepada pertanyaan dan soal-jawab berkenaan agama, dan tidak diperluaskan meliputi sejumlah perkara harian atau semasa yang lain.

Melalui laman NurAI, ia turut diperlihatkan mereka akan menawarkan pelan langganan Nur Plus pada harga RM20 sebulan, dan juga Nur Pro pada harga langganan RM200 sebulan. Kedua-dua langganan berbayar ini memberikan akses kepada UstazAI, balasan dalam bentuk audio, dan kebolehan melihat dokumen PDF.
Bagi anda yang berminat, boleh menyemak NurAI hari ini melalui laman rasmi, dan juga melalui aplikasi di Android dan iPhone.



