Nurul Izzah kekal ahli PKR! Lepas jawatan Timbalan Presiden, fokus pengajian lanjutan

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 11:42 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Selepas sekian lama berada di pentas politik, Nurul Izzah Anwar memilih untuk mengorak langkah baharu apabila memutuskan melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Namun, keputusan itu bukan bermakna bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut mahu meninggalkan perjuangan yang selama ini dibawanya.

Sebaliknya, Nurul Izzah menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas melalui pertimbangan panjang bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada pengajian lanjutan, selain meneruskan khidmat kepada masyarakat dalam ruang yang lebih luas.

“Keputusan ini dibuat setelah pertimbangan yang panjang, untuk mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Image from: Nurul Izzah kekal ahli PKR! Lepas jawatan Timbalan Presiden, fokus pengajian lanjutan

Menurutnya, perjalanan baharu itu bukan pengakhiran kepada penglibatan beliau dalam perjuangan yang dibawa PKR, sebaliknya satu fasa untuk meneruskan sumbangan dengan pendekatan berbeza.

Nurul Izzah turut merakamkan penghargaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kepimpinan parti yang mengambil maklum terhadap keputusannya.

Beliau dalam masa sama menegaskan akan terus menyokong perjuangan PKR walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden.

Image from: Nurul Izzah kekal ahli PKR! Lepas jawatan Timbalan Presiden, fokus pengajian lanjutan

Dalam kenyataannya, Nurul Izzah turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan baharu yang akan menggalas tanggungjawab tersebut, termasuk Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Amirudin Shari.

“Saya yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Timbalan Presiden dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya akan melaksanakan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat.

Image from: Nurul Izzah kekal ahli PKR! Lepas jawatan Timbalan Presiden, fokus pengajian lanjutan

“Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026, selain melantik Saifuddin Nasution menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas MPP meneliti permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan serta mendengar pandangan beliau dan barisan kepimpinan parti.

Artikel lain: Mohon undur jawatan Timbalan Presiden, MPP PKR beri Nurul Izzah cuti sementara – Fahmi

Keputusan Nurul Izzah ini sekali gus membuka bab baharu dalam perjalanan politiknya, bukan sebagai tanda berundur daripada perjuangan, tetapi sebagai pilihan untuk mencari ruang baharu dalam memberi khidmat dan bakti.

Sumber: FB Nurul Izzah Anwar

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved