Nurul Izzah fokus pengajian lanjutan, kekal sebagai anggota PKR

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 10:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nurul Izzah fokus pengajian lanjutan, kekal sebagai anggota PKR
Nurul Izzah

SHAH ALAM – Keputusan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengundurkan diri daripada jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibuat selepas melalui pertimbangan yang panjang.

Nurul Izzah berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkannya mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik.

"Saya akan terus kekal sebagai anggota parti, memberikan dokongan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik yang dirangkul saf kepimpinan parti di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim beserta akar umbinya.

"Kepada seluruh anggota parti, pimpinan di setiap peringkat, sahabat seperjuangan dan setiap insan yang telah bersama saya dalam perjuangan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan.

"Terima kasih di atas kepercayaan, teguran, doa dan pengorbanan yang tidak pernah putus," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersetuju untuk memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah selepas beliau memohon mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumum.

MPP turut memutuskan supaya Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara dan jawatan Pengarah Pilihanraya PKR digalas sepenuhnya oleh Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden PKR beserta kepimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusannya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden parti itu.

Malah beliau yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Timbalan Presiden dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya akan melaksanakan amanah berkenaan dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat.

"Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini.

"Insya-ALLAH ketemu jua kita sewaktu Kongres Nasional Keadilan pada 14-15 Ogos 2026 kelak," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved