
KUALA TERENGGANU: Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas membuat pertimbangan panjang bagi membolehkannya meneruskan pengajian lanjutan.
Beliau berkata, keputusan itu turut membolehkannya meneruskan khidmat dan bakti yang tidak semestinya terikat dengan dunia politik.
Katanya, walaupun melepaskan jawatan itu, beliau kekal sebagai ahli PKR.
“Saya akan terus kekal sebagai anggota PKR, memberikan dokongan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik yang dirangkul saf kepemimpinan parti di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) beserta akar umbinya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu, beliau dilaporkan diberi kebenaran oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR untuk bercuti sementara berkuat kuasa selepas Kongres Nasional 2026 di Melaka, minggu depan.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Nurul Izzah juga memaklumkan mahu mengundurkan diri daripada jawatan terebut.
Pada masa sama, Fahmi memaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memangku tugas Timbalan Presiden untuk sementara.
Keputusan mesyuarat MPP yang berlangsung hari ini turut menyatakan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kekal sebagai Naib Presiden dan menggalas tugas penuh selaku Pengarah Pilihanraya PKR.
Fahmi turut memaklumkan bahawa Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dijadual berlangsung pada 14 Ogos ini.
Jawatan Timbalan Presiden PKR disandang oleh Nurul Izzah bagi penggal 2025 hingga 2028 selepas beliau menewaskan penyandang ketika itu, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pemilihan parti pada Mei 2025.
Sementara itu, Nurul Izzah merakamkan penghargaan kepada Anwar dan kepemimpinan PKR kerana mengambil maklum keputusannya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Beliau yakin Saifuddin Nasution selaku Naib Presiden menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara dan Amirudin selaku Pengarah Pilihan Raya PKR akan melaksanakan amanah itu dengan penuh kebijaksanaan, hikmah serta ketekunan dalam menggalas harapan rakyat.
“Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli PKR, pimpinan di setiap peringkat, sahabat seperjuangan dan setiap insan yang bersama dalam perjuangannya.
“Terima kasih datas kepercayaan, teguran, doa dan pengorbanan yang tidak pernah putus. Insya-Allah ketemu jua kita sewaktu Kongres Nasional PKR pada 14 dan15 Ogos 2026 ini,” katanya. – UTUSAN
The post ‘Saya lepas jawatan Timbalan Presiden PKR selepas pertimbangan panjang’ appeared first on Utusan Malaysia.




