Nurul Izzah saran pusat beli-belah sediakan parkir khas motosikal penghantar makanan

20 Jul 2023 • 12:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nurul Izzah saran pusat beli-belah sediakan parkir khas motosikal penghantar makanan

zulfadli

20/07/2023 - 12:27

KUALA LUMPUR 20 Julai - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyarankan pihak pengurusan pusat beli-belah menyediakan tempat letak motosikal khas bagi memudahkan penghantar makanan menjalankan kerja mereka tanpa sebarang masalah.

Nurul Izzah berkata, masalah besar yang dihadapi pekerja gig ini adalah tempat parkir motosikal yang terhad ketika mereka mendapatkan makanan, terutamanya yang terletak di dalam pusat beli-belah.

Beliau berkata, setiap kali mereka memasuki pusat beli-belah tertentu, mereka perlu membayar caj parkir, dan ini membebankan mereka.

Katanya, untuk menjimatkan kos, mereka sering meletakkan motosikal mereka di sepanjang jalan di luar pusat beli-belah semasa mereka masuk mengambil makanan untuk dihantar kepada pelanggan.

"Ini menimbulkan dua masalah, antaranya kesesakan lalu lintas kerana motosikal mereka mungkin menghalang jalan raya. Kedua, saman polis dan juga majlis perbandaran masing-masing yang boleh mencapai jumlah yang besar.

"Penunggang-penunggang ini kebanyakannya berbangsa Melayu dan bukan daripada keluarga berada. Sesetengah penunggang kadang kala dikeluarkan dengan dua hingga tiga saman sehari dan sebahagian besar daripada pendapatan mereka digunakan untuk membayar saman," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut Nurul Izzah, pekerja gig adalah sebahagian daripada tulang belakang negara dan penunggang penghantaran makanan mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari di jalan raya untuk memastikan pesanan dihantar tepat pada masanya.

image is not available
Nurul Izzah Anwar bertemu dengan sekumpulan penghantar makanan di Sunway Carnival Mall di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Katanya, oleh kerana sifat pekerjaan mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk perlu memasuki pusat beli-belah sehingga 10 kali sehari untuk mengambil makanan di dalam premis.

Dalam pada itu katanya, baru-baru ini sekumpulan penunggang motosikal yang terdiri daripada penghantar makanan di Permatang Pauh menemuinya dan meminta beliau menyelesaikan masalah parkir di Sunway Carnival Mall.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, penghantar makanan berkenaan meminta pihak pengurusan untuk menyediakan kawasan parkir yang ditetapkan tetapi tidak berjaya.

image is not available

"Saya terpaksa melakukan sesuatu kerana mereka sangat memerlukan bantuan. Kami bertemu dengan pihak pengurusan Sunway Carnival Mall untuk membangkitkan isu ini dan selepas satu jam rundingan, kami menemui penyelesaian.

"Pusat beli-belah itu bersetuju untuk menyediakan tempat letak motosikal khas untuk penunggang penghantaran untuk menjalankan kerja mereka tanpa sebarang masalah," katanya.

Tambahnya, berterima kasih kepada Sunway Carnival Mall atas pemahaman mereka yang baik dan berharap pihak lain dapat juga membantu menjadikan kehidupan lebih senang bagi penunggang penghantaran ini.

"Saya doakan kejayaan penunggang-penuggang ini," katanya. - DagangNews.com