Nurul Izzah tidak senang cara kerajaan urus isu rasuah – Hassan

LocalPolitics
9 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nurul Izzah tidak senang cara kerajaan urus isu rasuah – Hassan

PETALING JAYA: Hasrat Nurul Izzah Anwar untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR didakwa berkait rapat dengan rasa tidak puas hati beliau terhadap pendekatan kerajaan dalam usaha membanteras rasuah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Nurul Izzah dipercayai mempunyai pandangan tersendiri berhubung isu rasuah dan keadaan semasa dalam parti serta kerajaan.

“Satu perkara yang saya boleh berani cakap, Nurul Izzah tidak senang tentang bagaimana kerajaan menguruskan soal membasmi rasuah ini.

“Dia ada pandangan sendiri dan ramai orang berkongsi pandangan itu. Dalam keadaan parti PKR sekarang ini dan kerajaan sekarang ini, saya rasa dia kurang selesa dan kurang bersetuju.

“Tapi sebagai anggota parti yang setia, seorang anak pejuang, pilihan dia berundur dahulu. Kalau satu masa sampai pada waktunya, dia akan kembali, Insya-Allah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memohon mengundurkan diri daripada jawatan Timbalan Presiden PKR.

Sebaliknya Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menolak peletakan jawatan Nurul Izzah dan hanya bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada beliau yang bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan.

Dalam pada itu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, terdapat kebimbangan mengenai masa depan kepimpinan parti itu, khususnya dalam melahirkan barisan pemimpin muda baharu.

Beliau berkata, perkembangan tersebut berlaku ketika PKR berdepan kehilangan beberapa tokoh yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh parti.

“Sebab kita tengok ramai pemimpin-pemimpin sudah keluar PKR. Lepas itu Nurul Izzah ini adalah satu-satunya pemimpin muda yang boleh ke depan lagi, tetapi dia pula letak jawatan.

“Ini yang saya sebut dulu, reformasi jangan mati. Sekarang PKR sudah ketandusan pemimpin. Satu demi satu berundur malah ada yang sudah keluar parti.

“Tidak mengapa, benda sudah berlaku. Nurul Izzah tetap setia dengan parti,” katanya.-UTUSAN

 

The post Nurul Izzah tidak senang cara kerajaan urus isu rasuah – Hassan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved