Pada pertengahan tahun lepas, NVIDIA dilaporkan akan memperkenalkan cip pemprosesan komputer pengguna pertama mereka, yang dinamakan NVIDIA N1 dan N1X, iaitu sebuah produk kerjasama diantara mereka dan juga syarikat pengeluar cip pemprosesan MediaTek, menggunakan teknologi cip Arm.
Pengumuman tersebut telah ditunda dari acara Computex Taipei 2025 ke acara CES 2026 pada awal tahun ini, dan terkini, pihak TAITRA, pengelola acara tersebut mengesahkan bahawa CEO NVIDIA, Jensen Huang akan mengadakan acara ucaptama, dan dijangka akan memperkenalkan cip pemprosesan baru tersebut.

Ini juga disokong dengan beberapa laporan sebelum ini yang mengatakan bahawa beberapa jenama komputer riba seperti Lenovo yang sudahpun bersedia untuk memperlihatkan penawaran mereka yang tersendiri.
Cip pemprosesan NVIDIA N1 dan N1X merupakan cip pemprosesan berasaskan teknologi Arm yang mampu menggerakkan sistem operasi Windows 11 versi Arm (menyerupai apa yang dilakukan oleh Qualcomm dengan cip Snapdragon X mereka) disamping merumahkan komponen cip pemprosesan grafik GeForce RTX 5070 yang membolehkan mana-mana komputer yang mempunyai cip ini digunakan sebagai komputer gaming ataupun produktiviti kelas premium.
Apa yang pasti ialah pada tahun ini, persaingan untuk segmen komputer riba produktiviti dan mungkin juga gaming akan dilihat semakin sengit dengan penawaran-penawaran menarik dari pihak-pihak seperti Apple, AMD, Intel dan kini NVIDIA untuk penguasaan pasaran komputer pengguna.


