NVIDIA GeForce NOW Kini Menyokong Penstriman 5K 120FPS Menggunakan RTX 5080

Gaming
19 Aug 2025 • 9:19 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Perkhidmatan NVIDIA GeForce NOW telah dinaiktaraf dengan ia kini menawarkan penstriman permainan video pada tetapan tertinggi 5K 120FPS. Ini adalah peningkatan daripada 4K 120FPS sebelum ini. Prestasi dapat dicapai kerana GeForce NOW kini menggunakan GPU RTX 5080 dengan 48GB RAM menggantikan RTX 4080.

image is not available

Penstriman pada tetapan ultra ini boleh diakses pelanggan GeForce NOW Ultimate dengan bayaran $20 sebulan. Pelanggan akan dapat mengakses ciri seperti DLSS 4 dan sokongan ray tracing dalam permainan yang distrim. Selain resolusi 5K 120FPS, pelanggan juga diberikan pilihan 1440p 240FPS dan 1080p 360FPS jika kadar bingkai adalah lebih penting kepada mereka berbanding resolusi tinggi.

image is not available

Penambahbaikan lain yang diperkenalkan ialah Cinematic Quality Streaming (CQS) dengan YUV 4:4:4 chroma subsampling, penstriman lebih lancar menggunakan codec AV1 codec dan menggunakan AI untuk mengurangkan kesan artifak pada grafik permainan yang distrim. Menurut NVIDIA lagi, CQS boleh mengesan tetapan paling optimum untuk skrin yang digunakan pelanggan.

image is not available

Pada ketika ini GeForce NOW menawarkan 2300 permainan tetapi dengan ciri baharu Install-to-Play ia akan meningkat ke 4500 permainan. Menerusi Install-to-Play, permainan PC yang dimiliki pelanggan tetapi tidak ditawarkan GeForce NOW akan dimuat naik terus ke awanan dan dipasang. Ia boleh distrim bila-bila masa ia diperlukan dengan pemasangan semula tidak diperlukan. Pelanggan GeForce NOW Ultimate dan Performance menerima storan 100GB secara percuma dengan storan tambahan boleh dibeli menerus bayaran bulanan.

Akhir sekali GeForce NOW juga kini boleh menstrim di Steam Deck pada kadar 90 FPS dan pada TV pintar LG baharu, ia boleh dimainkan terus menerusi aplikasi tanpa perlu disambungkan kepada perkakasan tambahan pada tetapan 4K 120FPS HDR.

NVIDIA GeForce NOW yang dipertingkatkan ini akan mula ditawarkan bulan September depan.