Siri kad grafik ASUS Astral GeForce RTX 5090 dan RTX 5080 boleh dilihat sebagai diantara kad-kad grafik yang termahal di pasaran sekarang, khususnya dengan penawaran kad grafik edisi Dhahab dan Real Gold yang diperkenalkan baru-baru ini.
Tidak berpuas hati dengan itu sahaja, ASUS telah memperkenalkan satu lagi edisi khas untuk kad grafik mereka, iaitu ASUS ROG Astral GeForce RTX 5080 Hatsune Miku Edition yang hadir dalam warna hitam, firus (turquoise) dan merah jambu.

Bahagian belakang kad grafik ini memperlihatkan grafik watak Hatsune Miku dan juga penutup GPU yang hadir dengan corak warna yang sama seperti pada bahagian hadapan. Untuk bahagian ini, ia dilihat bahawa kipas bahagian belakang juga mempunyai warna hijau yang sama.

Bahagian sisi memperlihatkan sedikit grafik ROG dan Miku dengan bahagian penutup penyejuk memperlihatkan warna firus tersebut.

Buat masa ini, kad grafik ASUS ROG Astral GeForce RTX 5080 Hatsune Miku Edition ini nampaknya hanya dijual di pasaran China terlebih dahulu pada harga 16999 Yuan (~RM10,000). Kami telah tanya kepada pihak ASUS Malaysia samada ia akan memasuki pasaran tempatan, tetapi diberitahu bahawa mereka tidak pasti lagi.

Sebelum ini ASUS Malaysia telahpun membawa masuk aksesori-aksesori gaming ASUS TUF bertemakan Hatsune Miku untuk pasaran tempatan.
