Nyanyian bantu Nur Umairah mahir Inggeris

Music
7 Oct 2026 • 11:03 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nyanyian bantu Nur Umairah mahir Inggeris

MENYANYI bukan sekadar menghiburkan diri dengan alunan muzik kegemaran, sebaliknya boleh menjadi ruang untuk seseorang mengenali potensi dan mengembangkan bakat dalam diri.

Bagi sesetengah individu, minat yang bermula secara santai sejak kecil, akhirnya berkembang menjadi hobi yang memberi keyakinan untuk tampil di hadapan orang ramai.

Minat tersebut turut mekar dalam diri Nur Umairah Alesya Abdullah, 16, yang mula menyanyi sejak berusia 10 tahun.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz, Lenggong, Perak itu berkata, aktiviti yang bermula secara suka-suka tersebut akhirnya membuatkan dia sedar bahawa nyanyian merupakan bidang diminatinya.

“Ibu menjadi sumber inspirasi pertama minat saya terhadap nyanyian kerana sering menyanyi di rumah.

“Lama-kelamaan, perkara tersebut mendorong saya untuk turut menyanyi dan menjadikan aktiviti berkenaan sebagai hobi.

“Kini, minat saya terhadap muzik semakin berkembang apabila saya gemar mendengar lagu-lagu berbahasa Inggeris, terutama lagu daripada penyanyi antarabangsa, Shawn Mendes,” katanya kepada K-Remaja.

Bagi Nur Umairah, nyanyian bukan sahaja menjadi ruang untuk mengembangkan bakat, malah membantunya mengasah kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan lebih lancar.

Dalam usaha memperbaiki kemahiran vokal, Nur Umairah banyak berlatih menyanyi dan mendengar lagu berulang kali.

Jelasnya, dia akan cuba memastikan suaranya dapat mengikut nota lagu dengan betul supaya nyanyian kedengaran lebih lancar.

“Saya manfaatkan peluang menyertai persembahan dan pertandingan di sekolah untuk meningkatkan keyakinan serta kemahiran ketika membuat persembahan di depan khalayak.

“Sokongan daripada guru, rakan-rakan dan keluarga turut menjadi pendorong untuk saya terus aktif.

Image from: Nyanyian bantu Nur Umairah mahir Inggeris
Nur UMAIRAH aktif membuat persembahan nyanyian di sekolah.

“Galakan yang diberikan membuatkan saya lebih berani mencuba dan tidak mudah berputus asa, terutama ketika menyertai pertandingan atau membuat persembahan,” katanya.

Dalam membahagikan masa, Nur Umairah akan mengutamakan pelajaran terlebih dahulu sebelum memperuntukkan masa untuk aktiviti sekolah dan latihan nyanyian.

Jika ada pertandingan atau persembahan, Nur Umairah akan berlatih dengan lebih kerap bagi memastikan persediaan dilakukan lebih baik tanpa mengabaikan pelajaran.

Antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakannya adalah ketika menyertai pementasan teater.

Walaupun berasa gementar pada awalnya, namun Nur Umairah tetap cuba memberikan yang terbaik.

Bagaimanapun, perjalanan dalam bidang nyanyian turut mempunyai cabaran tersendiri.

“Antara yang paling mencabar bagi saya adalah untuk memadankan suara dengan muzik, khususnya apabila lagu mempunyai nota tinggi atau perubahan nada.

“Untuk mengatasinya, saya memperbanyakkan latihan supaya dapat menyanyikan lagu tersebut dengan lebih lancar.

“Saya juga pernah berasa kurang yakin dengan suara sendiri, namun memilih untuk terus berlatih dan menerima kritikan sebagai perkara yang boleh membantu saya menjadi lebih baik,” katanya.

Sebelum persembahan, Nur Umairah turut memberi perhatian terhadap penjagaan suaranya dengan memastikan pengambilan air yang mencukupi, melakukan ‘pemanasan’ suara dan mengelak penggunaan suara secara berlebihan.

Pada masa sama, Nur Umairah akan memberikan lebih perhatian kepada bahagian lagu yang dirasakan mencabar dengan melakukan latihan berulang kali bagi memastikan dia lebih bersedia dan yakin ketika berada di atas pentas.

Dalam pada itu, Nur Umairah berharap minat yang disemai sejak kecil itu dapat terus dikembangkan, selain membantunya menjadi penyanyi yang lebih yakin dan mahir dalam aspek vokal.

“Saya berharap dapat terus mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian dan menjadi lebih yakin serta mahir dalam vokal.

“Saya juga ingin menyertai lebih banyak pertandingan dan persembahan selepas ini,” ujarnya.

The post Nyanyian bantu Nur Umairah mahir Inggeris appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved