Nyawa manusia atau hak haiwan?

Family & ParentingPets
17 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nyawa manusia atau hak haiwan?

Isu berkaitan anjing liar yang memberikan persepsi negatif termasuk menyerang manusia seperti tidak berkesudahan selepas banyak mangsa mengalami kecederaan teruk akibat diserang haiwan itu secara berkumpulan.

Bukan satu atau dua kes, tetapi berpuluh kes yang dilaporkan mengenai serangan anjing liar di seluruh negara menyebabkan kecederaan parah dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak insiden sama tidak berulang.

Lebih teruk berlaku kematian seperti kes di Semporna, Sabah pada November 2024 yang mana seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang dan digigit sekumpulan anjing liar di Kampung Sungai Tohok.

Kes terbaharu, pada 5 September lalu seorang kanak-kanak berusia dua tahun parah diserang anjing liar di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Batu Pahat, Johor.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Nur Haira Watikah Mohamad Hamizi ditemui dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumah dengan kepalanya terkoyak, manakala pipinya berlubang akibat digigit sekumpulan anjing liar.

Nur Haira dijangka menjalani pembedahan plastik di bahagian kepala dan muka tidak lama lagi bagi memulihkan kecederaan memandangkan rawatan atau pembedahan biasa tidak sesuai.

Berikutan itu, sering timbul perbalahan antara pencinta anjing liar dan juga keluarga mangsa serangan yang menyaksikan pertembungan antara isu keselamatan awam melibatkan nyawa manusia dan hak serta kebajikan haiwan.

Kes serangan anjing liar ini perlu ditangani dengan lebih serius kerana ia mencetuskan kebimbangan masyarakat berhubung keselamatan mereka dan keluarga.

Anjing liar dikatakan bertindak agresif akibat kombinasi faktor survival, naluri mempertahankan diri, dan cara hidup berkumpulan.

Apabila berada dalam kumpulan, keyakinan anjing meningkat, apabila seekor mula agresif akan mendorong yang lain turut menyerang.

Sesungguhnya serangan haiwan liar seperti yang berlaku hari ini bukan hanya soal kecuaian atau kekurangan kawalan tetapi juga soal empati.
Ramai dalam mangsa serangan menanggung kecederaan dan trauma seumur hidup.

Banyak pihak mahu agar pencinta haiwan agar tidak terus menuding jari kepada mangsa yang dikatakan membuat provokasi terhadap haiwan liar itu seolah-olah nyawa manusia tidak berharga.

Mereka juga berharap agar pihak berkuasa tempatan segera mengambil langkah lebih tegas bagi mengawal populasi anjing liar.

Ramai yang menyokong tindakan Kerajaan Negeri Johor melaksanakan operasi menangkap anjing liar susulan serangan ke atas Nur Haira biarpun mendapat bantahan daripada kumpulan pencinta anjing.

Memang benar haiwan juga mempunyai hak untuk dijaga dengan kasih sayang, namun begitu keselamatan dan nyawa manusia juga tidak boleh dikompromi dan tiada galang ganti. Fikir-fikirkanlah.

The post Nyawa manusia atau hak haiwan? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved