KEJADIAN seorang penunggang motosikal maut dirempuh pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang semalam sekali lagi membuka mata masyarakat terhadap ancaman serius pemanduan tidak bertanggungjawab di negara ini.
Dalam insiden tersebut, mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Tragedi ini bukan sekadar statistik kemalangan jalan raya, tetapi juga mencerminkan kegagalan sebahagian individu mengawal diri serta memandang ringan keselamatan pengguna lain.
Lebih membimbangkan, kes seperti ini bukanlah terpencil, malah saban tahun berulang dengan pola yang hampir sama.
Pemandu mabuk hilang kawalan dan kemudiannya meragut nyawa orang yang tidak bersalah.
Dalam konteks ini, isu utama yang perlu diberi perhatian ialah tahap kesedaran sivik yang masih rendah dalam kalangan segelintir masyarakat.
Pengambilan alkohol dan dadah sebelum memandu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap nyawa sendiri dan orang lain.
Bukan itu sahaja, tindakan memotong secara berbahaya dan memasuki laluan bertentangan seperti yang dilaporkan oleh pihak polis menerusi media turut menunjukkan kecuaian melampau yang sepatutnya tidak berlaku.
Justeru, beberapa langkah perlu diperkasakan.
Pertama, penguatkuasaan undang-undang mesti lebih tegas dan konsisten, termasuk hukuman berat bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol serta dadah.
Kedua, kempen kesedaran awam perlu dipergiatkan secara berterusan dan bukan bermusim, dengan pendekatan lebih dekat kepada masyarakat terutama golongan muda.
Ketiga, peranan keluarga dan rakan juga penting dalam menegur serta menghalang individu daripada memandu dalam keadaan tidak waras.
Kesedaran masyarakat amat penting kerana setiap pemandu memainkan peranan dalam menentukan keselamatan jalan raya.
Tuntasnya, nyawa bukan bahan uji kaji.
Sikap sambil lewa dan ego di atas jalan raya hanya akan membawa kepada penyesalan yang tidak berpenghujung.
Sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu menjadikan jalan raya sebagai ruang yang selamat, bukan medan tragedi seperti beberapa tahun kebelakangan ini.

