
Objek Didakwa Meteor Meletup, Bunyi Dentuman Sonik Kedengaran Lebih 200 Kilometer
Penduduk sebuah bandar di Amerika Syarikat dikejutkan dengan kejadian letupan meteor yang menghasilkan bola api di ruang udara, selain bunyi dentuman sonik yang dilaporkan kedengaran sehingga lebih 200 kilometer.
Metro UK melaporkan kejadian itu berlaku di ruang udara Olmsted Falls, yang terletak di timur laut negeri Ohio pada minggu lalu.
Insiden tersebut dipercayai berpunca daripada sebuah asteroid kecil berukuran kira-kira 1.8 meter yang hancur menjadi serpihan sejurus sebelum pukul 9 pagi (waktu tempatan).
Difahamkan, NASA mengukur meteor itu bergerak pada kelajuan sekitar 72,420 kilometer sejam.
Mula dikesan di ruang udara di atas Tasik Erie
Objek tersebut mula dikesan di ruang udara di atas Tasik Erie sebelum meletup dengan kekuatan dianggarkan bersamaan 250 tan TNT selepas menempuh atmosfera Bumi sejauh kira-kira 55 kilometer.
Jurucakap NASA, Bill Cook berkata kepada News5 Cleveland bahawa kejadian itu seolah-olah menggambarkan langit runtuh ketika beliau menyedarinya pada pagi Selasa lalu.
Fenomena berkenaan turut dirakam kamera keselamatan sebuah sekolah tempatan di Olmsted Falls.

Pengetua sekolah, Dr Jim Lloyd, berkata rakaman tersebut menunjukkan dengan jelas kemunculan meteor di langit.
Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, namun letupan berkenaan dapat dilihat dari jarak jauh termasuk di Chicago, Toronto dan Philadelphia.
Secara purata, kira-kira 17,000 meteorit dilaporkan memasuki dan jatuh ke Bumi setiap tahun.
Baca juga:

