Obses kumpul Joker hingga cipta rekod dunia

EntertainmentLifestyle
9 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Obses kumpul Joker hingga cipta rekod dunia

OBSES terhadap sesuatu karakter boleh membuatkan seseorang sanggup berhabis wang mengumpul pelbagai barangan berkaitan watak berkenaan.

Malah, ada yang sanggup memburu koleksi unik dari pelbagai tempat demi melengkapkan simpanan mereka.

Begitu juga dengan Megan Pierce, 22, yang mempunyai minat luar biasa terhadap watak Joker daripada francais filem Batman.

Bermula dengan sebuah mainan kecil yang diterima ketika di sekolah rendah, minat tersebut berkembang menjadi ribuan koleksi sehingga memenuhi tingkat satu rumahnya di Indiana, Amerika Syarikat.

Antara koleksi yang dimilikinya termasuk penutup botol susu Joker dari 1966, coklat dan paparan gula-gula dari 1989 serta tin sup Campbell’s bertemakan Joker keluaran 2004.

Lebih membanggakan, koleksi tersebut bukan sekadar menjadi hobi peribadi apabila Pierce berjaya mencipta Rekod Dunia Guinness bagi koleksi memorabilia Joker terbesar di dunia dengan 2,318 barangan berlesen rasmi.

Bagi Pierce, koleksi tersebut bukan sekadar himpunan barangan, sebaliknya satu cara untuk menyelami sejarah dan perkembangan karakter berkenaan menerusi pelbagai koleksi serta komik.

“Melihat sejarah Joker melalui koleksi dan komik, serta melihat bagaimana watak ini berkembang dari semasa ke semasa sememangnya sesuatu yang mengujakan.

“Impian saya adalah untuk menyusun koleksi ini mengikut kronologi dan menceritakan kisah Joker,” katanya.

Minat Pierce terhadap Joker bermula ketika dia di darjah dua apabila seorang rakan menghadiahkannya mainan kecil Joker daripada Imaginext.

Image from: Obses kumpul Joker hingga cipta rekod dunia
PIERCE menunjukkan sijil Rekod Dunia Guinness bagi koleksi memorabilia Joker terbesar di dunia.

Koleksi itu kemudian berkembang apabila dia memasuki sekolah menengah.

Pada tempoh tersebut, Pierce berdepan pengalaman dibuli dan kesukaran dalam kehidupan persekolahan hingga menyebabkan aktiviti mengumpul menjadi minat yang semakin dekat dengannya.

Dia tertarik dengan Joker kerana watak itu mempunyai asal-usul misteri dan sering muncul dalam pelbagai versi.

“Ketika di sekolah menengah, apabila saya memakai baju Joker, seseorang mungkin mentertawakan saya dan menganggap saya seorang yang pelik.

“Tetapi sekarang, orang melihat saya sebagai seorang yang meminati Joker,” katanya.

Ketika pandemik Covid-19, Pierce mula berkongsi kandungan mengenai Joker dan koleksinya menerusi TikTok.

Kini, akaunnya mempunyai lebih 65,000 pengikut dan menjadi ruang untuk dia berhubung dengan peminat serta pengumpul lain.

Minat tersebut turut membawanya menghadiri acara seperti Comic-Con, selain berpeluang bertemu individu yang mempunyai kaitan dengan francais Batman.

Dalam pada itu, Pierce mula memohon pengiktirafan Guinness pada 2023 selepas beberapa pengumpul lain menggalakkannya mencuba.

Namun menurut Pierce, perkara itu tidak mudah kerana dia perlu mengukur setiap barangan, menyediakan penerangan dan mengambil gambar kesemuanya, sebelum koleksi itu diperiksa oleh lima saksi pakar.

“Saya perlu mengukur kesemuanya. Saya perlu menyediakan penerangan untuk setiap barangan dan gambar bagi setiap satu,” katanya.

Pierce akhirnya menerima pengesahan bahawa permohonannya diterima pada 19 September tahun lalu ketika menghadiri kelas di Manchester University, North Manchester, Indiana.

Walaupun sudah mencipta rekod dunia, namun Pierce tidak melihat koleksinya dari sudut keuntungan, malah dia sendiri tidak mengetahui nilai keseluruhan barangan dimilikinya.

Salah satu yang paling diingati oleh Pierce adalah perjalanan bersama bapanya dan dua kakak dalam keadaan ribut salji ke Ohio semata-mata untuk mendapatkan keratan kadbod Joker bersaiz manusia.

Kini, Pierce mahu membawa hobinya ke tahap seterusnya dengan merealisasikan impian membuka muzium khusus untuk Joker.

“Saya tidak bimbang sekiranya ada pengumpul lain yang berjaya memecahkan rekod saya kerana perkara itu hanya akan mendorong saya untuk terus mengumpul.

“Ia hanya akan membuatkan saya lebih bersemangat untuk mengumpul lagi,” katanya.

The post Obses kumpul Joker hingga cipta rekod dunia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved