OCK Group rancang senaraikan EIPT, anak syarikat tenaga 52% dimilikinya di Pasaran ACE Bursa Malaysia

27/08/2025 - 11:00
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 27 Ogos – OCK Group Bhd, penyedia infrastruktur telekomunikasi merancang untuk menyenaraikan EI Power Technologies Sdn Bhd (EIPT), syarikat tenaga yang 52% dimilikinya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
OCK berkata, penyenaraian itu akan dilaksanakan melalui penubuhan sebuah entiti baharu, EI Power Bhd (EIP) yang akan menjadi syarikat induk kepada EIPT serta dua anak syarikatnya, EI Power Nexus Sdn Bhd dan EI Power (Thailand) Co Ltd.
“Kami telah melantik M&A Securities Sdn Bhd sebagai penasihat dan penaja bagi urus niaga ini.
“Perincian cadangan penyenaraian masih belum dimuktamadkan pada peringkat ini kerana ia masih berada di fasa awal dan kerja-kerja persediaan sedang dijalankan,” kata OCK dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Menurut syarikat itu, cadangan penyenaraian berkenaan tertakluk kepada kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd.
OCK berkata, pengumuman terperinci akan dibuat kepada Bursa sebaik sahaja perincian dimuktamadkan, namun tidak mendedahkan sebarang tempoh masa untuk penyenaraian tersebut.
Pada Ogos tahun lalu, EIPT memperoleh tiga kontrak bernilai RM32.5 juta bagi pembekalan dan pemasangan infrastruktur kuasa sandaran untuk pusat data.
Bagaimanapun, OCK tidak mendedahkan nama pelanggan atau pengendali pusat data yang terlibat. - DagangNews.com
standard
