PMW International terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
25 Aug 2025 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PMW International terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

image is not available

25/08/2025 - 14:50

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos PMW International Berhad, pengeluar produk konkrit menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Seiring penyenaraian tersebut, PMW akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) yang merangkumi terbitan awam sebanyak 178.41 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 89.21 juta saham sedia ada.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PMW, Lee Hon Hwa berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 44.6 juta unit akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui undian, 22.3 juta unit kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan PMW, manakala 111.5 juta unit pula diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Bagi tawaran untuk jualan pula, sebanyak 89.21 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PMW Group terlibat dalam reka bentuk, pembuatan dan penjualan pelbagai produk konkrit dan cerucuk segi empat yang digunakan dalam sektor penghantaran kuasa, telekomunikasi, infrastruktur serta pembinaan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Syarikat beribu pejabat di Perak itu memiliki kilang pembuatan di Perak dan Sabah serta turut mengeksport produknya ke negara serantau dan antarabangsa.

Selain itu, beliau berkata, penyenaraian ini menandakan detik penting dalam perjalanan korporat syarikat sebagai pengeluar konkrit prategasan berputar yang dipercayai.

“Kami berbangga mengumumkan bahawa kami selangkah lebih dekat untuk mencapai objektif penyenaraian di Pasaran ACE.

“Hasil daripada IPO ini akan digunakan untuk meneroka pasaran Sarawak melalui pembinaan loji baharu di Tanjung Manis serta melabur dalam teknologi baharu bagi memenuhi pertumbuhan permintaan pembangunan infrastruktur di dalam dan luar negara,” katanya.

KAF Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, pengurus buku utama dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan.- DagangNews.com

standard