OCPD Selamatkan Pelajar Perempuan Daripada Cubaan Bunuh Diri

28 Jul 2026 • 3:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

OCPD Selamatkan Pelajar Perempuan Daripada Cubaan Bunuh Diri

KUALA LUMPUR - Tindakan pantas Ketua Polis Daerah (OCPD) Kuala Terengganu berjaya menyelamatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang dipercayai cuba membunuh diri di sebuah sekolah menengah di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, meluangkan kira-kira 10 minit memujuk pelajar terbabit yang berada dalam keadaan tertekan, sebelum berjaya menghalangnya daripada bertindak lebih jauh.

Beliau kemudian menghampiri mangsa, memegang tangannya dan membawanya ke lokasi yang selamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke bilik rehat sekolah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, pelajar berkenaan masih menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoiyibah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.33 pagi sebelum menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan utiliti ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati pelajar itu berada dalam keadaan tertekan di tingkat dua bangunan sekolah.

Menurutnya, maklumat awal daripada pihak sekolah mendapati, pelajar berkenaan dipercayai telah menulis hasrat untuk mencederakan dirinya di dalam sebuah buku latihan.

“Anggota bomba turut membantu menenangkan keadaan dan bersiap siaga sehingga mangsa berjaya dibawa ke lokasi selamat sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya. - Getaran, 28 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved