Canonical Akan Menghentikan Pembangunan Ubuntu Berasaskan 32-Bit

19 Jun 2019 • 11:11 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sewaktu pembangunan Ubuntu 18.04 LTS (Bionic Beaver) pada tahun lalu, Canonical mengumumkan bahawa mereka tidak akan menawarkan fail pemasangan ISO 32-bit untuk Ubuntu 18.04 dan versi-versi seterusnya. Namun mereka masih menawarkan repositories Ubuntu 32-bit, bagi membolehkan komputer dengan Ubuntu 32-bit terdahulu menerima kemaskini Ubuntu sehingga versi 18.10.

Pada hari ini, Canonical telah mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan pembangunan sistem operasi 32-bit (i386) untuk versi-versi Ubuntu akan datang.

image is not available

Sejajar dengan pengumuman ini, Canonical akan mematikan sokongan penaiktarafan daripada Ubuntu 18.04 LTS (32-bit) ke Ubuntu 18.10 (32-bit). Perkara ini kerana Ubuntu 18.10 mempunyai sokongan jangka masa pendek, berbanding Ubuntu 18.04 LTS yang sedia mempunyai sokongan sehingga 5 tahun.

Dengan penamatan pembangunan sistem operasi 32-bit, Ubuntu 19.10 (Eoan Ermine) akan menjadi sistem operasi Ubuntu pertama yang hanya menyokong sistem 64-bit. Sistem operasi ini dijangka akan diperkenalkan kepada pengguna pada tahun ini, iaitu pada 17 Oktober 2019.

Walau bagaimanapun, Canonical memaklumkan bahawa perisian berasaskan 32-bit masih dapat dijalankan pada sistem operasi Ubuntu 64-bit.

Jadi bagi pengguna yang mempunyai komputer berasaskan 32-bit, anda masih boleh memasang Ubuntu 18.04 LTS untuk digunakan dalam masa 5 tahun ini. Selepas daripada jangka masa ini, anda disarankan untuk beralih ke sistem yang lebih moden, untuk menikmati pembangunan Ubuntu yang lebih selamat dan terkini.