OIB lancar Gardens Idaman bernilai RM163.8 juta di Rawang

Business & Finance
18 Aug 2026 • 7:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: OIB lancar Gardens Idaman bernilai RM163.8 juta di Rawang

PETALING JAYA: Oriental Interest Berhad (OIB) melancarkan secara rasmi Myra Idaman, yang dipasarkan sebagai Gardens Idaman, pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM163.8 juta.

Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, Bahagian Hartanah Kediaman OIB, William Lew berkata, program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluas akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya dalam kenyataan.

Terletak di atas tanah seluas 4.54 hektar, Gardens Idaman menawarkan sebanyak 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga antara RM250,000 hingga RM270,000 seunit.

Pembangunan berstatus pajakan itu dijangka siap pada 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal, khususnya untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang memerlukan kediaman lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta.

Antara kelengkapan yang disediakan termasuk almari pakaian, pendingin hawa, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Penghuni turut disediakan kemudahan Central Park yang merangkumi trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain dewan serbaguna, tadika serta surau.

Menurut William, Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze sebagai pengiktirafan terhadap komitmen OIB dalam menerapkan amalan pembangunan mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang mengiktiraf pembangunan berdasarkan aspek kelestarian seperti kecekapan tenaga dan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Ujarnya, walaupun pensijilan GreenRE bukan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya elemen kelestarian perlu diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada projek bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring,” katanya.

Dari aspek lokasi, Gardens Idaman terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor dengan akses ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan berkenaan turut mempunyai akses ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan, kawasan rekreasi dan pusat komersial berhampiran. – UTUSAN

The post OIB lancar Gardens Idaman bernilai RM163.8 juta di Rawang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved