liza10/09/2026 - 10:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept – Omesti Bhd dan CA IT Infrastructure Solutions Sdn Bhd disaman oleh CSI Interfusion Sdn Bhd berhubung tuntutan bayaran tertunggak berjumlah RM7.64 juta bagi perkhidmatan pelaksanaan perisian untuk projek Telekom Malaysia Bhd (TM).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Omesti berkata pihaknya bersama CA IT telah menerima writ saman dan penyata tuntutan daripada CSI Interfusion pada 8 September 2026.
CA IT dinamakan sebagai defendan pertama manakala Omesti sebagai defendan kedua dalam tindakan undang-undang berkenaan.
Menurut Omesti, CSI Interfusion mendakwa CA IT telah melantiknya menerusi kontrak perkhidmatan bertarikh 15 September 2020 bagi menyediakan perkhidmatan perisian untuk projek Telekom Malaysia CBS Deployment.
CSI Interfusion mendakwa telah menyiapkan perkhidmatan yang dipersetujui di bawah kontrak berkenaan dan mengeluarkan invois kepada CA IT untuk bayaran.
Bagaimanapun, walaupun sebahagian bayaran telah dibuat, CSI Interfusion mendakwa sejumlah RM7.64 juta masih belum dijelaskan oleh CA IT.
Dalam tuntutan itu, CSI Interfusion turut menuntut RM7.5 juta daripada CA IT dan Omesti secara bersama dan berasingan, berdasarkan jaminan korporat yang diberikan Omesti bagi memenuhi obligasi CA IT.
Omesti terikat jaminan korporat RM7.5 juta
Omesti sebelum ini memberikan jaminan korporat bagi obligasi CA IT dengan had maksimum RM7.5 juta.
Selain jumlah pokok tersebut, CSI Interfusion turut menuntut faedah kontrak pada kadar 1.1% sebulan bermula dari tarikh tuntutan dibuat sehingga bayaran penuh diselesaikan.
CSI Interfusion juga menuntut faedah selepas penghakiman pada kadar 5% setahun, kos guaman serta apa-apa relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Pada masa sama, CSI Interfusion menuntut tambahan RM142,246.46 daripada CA IT, iaitu jumlah yang melebihi had jaminan korporat RM7.5 juta yang diberikan Omesti.
Tuntutan tambahan itu turut disertakan dengan tuntutan faedah kontrak ke atas jumlah tertunggak berkenaan.
CA IT kini merupakan anak syarikat milik penuh Microlink Solutions Bhd, yang sebelum ini merupakan anak syarikat utama Omesti sehingga Jun 2022.
Omesti berkata tindakan undang-undang terhadapnya dibuat atas kapasitinya sebagai penjamin korporat dan menegaskan bahawa tuntutan tersebut terlebih dahulu perlu berjaya terhadap CA IT, selaku pihak yang menandatangani kontrak dengan CSI Interfusion.
Kumpulan itu berkata, selain bayaran yuran profesional berkaitan perkara tersebut, sebarang liabiliti berpotensi hanya akan timbul sekiranya tuntutan berkenaan berjaya. Omesti juga tidak menjangkakan sebarang kesan material terhadap operasi syarikat buat masa ini.
Omesti kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan berhasrat untuk menentang tuntutan yang dikenakan terhadapnya sebagai defendan kedua. - DagangNews.com



