liza07/09/2026 - 09:36 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept – Khee San Bhd dan anak syarikatnya, Khee San Food Industries Sdn Bhd (KFI), disaman Tunai Impian Enterprise Sdn Bhd yang menuntut RM65.74 juta berhubung kegagalan melaksanakan perjanjian penjualan dan penyewaan semula sebidang tanah.
Khee San dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, saman itu turut melibatkan beberapa pengarah semasa dan bekas pengarah syarikat tersebut.
Tunai Impian memohon mahkamah mengarahkan KFI melaksanakan perjanjian jual beli serta perjanjian penyewaan tanah berkenaan seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Jika perintah tersebut tidak diberikan, Tunai Impian sebagai alternatif menuntut RM65.74 juta, selain faedah 8% setahun dan relif lain yang berkaitan.
Kes itu berpunca daripada pinjaman RM18 juta yang diterima KFI daripada Tunai Impian menerusi perjanjian pinjaman wang pada Mac 2019, namun KFI gagal membayar balik pinjaman tersebut.
Perjanjian Jual Tanah Dan Sewa Semula
Bagi menyelesaikan kegagalan bayaran itu, KFI dan Tunai Impian memasuki perintah persetujuan pada 3 Jun 2021.
Di bawah persetujuan tersebut, KFI perlu menjual tanah berkenaan kepada Tunai Impian sebelum menyewanya semula.
Namun, Tunai Impian mendakwa KFI enggan menandatangani perjanjian jual beli dan perjanjian penyewaan seperti yang dipersetujui.
Menurut Khee San, Tunai Impian mendakwa pihaknya telah membantu proses penstrukturan hutang KFI berdasarkan jaminan bahawa perintah persetujuan itu akan dilaksanakan.
Kegagalan KFI melaksanakan persetujuan berkenaan menyebabkan Tunai Impian membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Tunai Impian Tuntut RM65.74 Juta
Daripada jumlah RM65.74 juta yang dituntut, RM40 juta adalah tuntutan berkaitan kehilangan tanah tersebut.
Tunai Impian turut menuntut RM7.2 juta bagi sewaan tertunggak selama 24 bulan, berdasarkan kadar RM300,000 sebulan.
Selain itu, tuntutan tersebut merangkumi RM18 juta jumlah pokok pinjaman dan RM540,000 faedah tertunggak.
Pengiraan tuntutan turut mengambil kira 91.8 juta saham Khee San yang sebelum ini ditawarkan kepada Tunai Impian di bawah skim penstrukturan hutang yang diluluskan pada Disember 2022.
Khee San berkata pihaknya sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung perkara itu.
Kumpulan pada masa ini tidak menjangkakan saman berkenaan memberi kesan material kepada operasi, pendapatan atau aset bersihnya, selain kos profesional termasuk yuran guaman.
Kes tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2026.- DagangNews.com






