One UI 6.1 Akan Menerima Ciri AI Generatif Menjana Latar Belakang

TechnologyDigital
11 Dec 2023 • 1:09 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ciri AI generatif semakin berkembang hari demi hari. Jika anda ingat, semasa Android 14 dilancarkan antara ciri menarik yang kami gemari adalah menjana imej latar belakang yang unik dengan AI. Ciri ini terhad pada peranti Pixel 8 dengan Google menjanjikan ia turut akan ditawarkan kepada peranti lain suatu hari nanti. Seperti yang dijangka, Samsung dilihat akan menjadi antara yang terawal menerima ciri ini.

image is not available
Sumber gambar – @BennettBuhner

Ciri ini akan diberikan kepada peranti Samsung yang menjalankan One UI 6.1 berasaskan Android 14. Dalam tetapan kustomasi, akan terdapat ciri menjana latar belakang dengan AI generatif melalui beberapa pilihan topik seperti dalam YouTube Music. Pengguna kemudian masukkan prom dan tekan butang Surprise me untuk mendapatkan imej-imej unik.

image is not available

Ciri menjana imej ini bukan perkara baharu. Sebelum AI generatif menjadi popular Oppo dan OnePlus telah hadir dengan ciri lebih kurang sama. Bezanya, “prom” di sini adalah mengambil/menggunakan gambar daripada peranti dan imej dengan grafik abstrak akan dijana berdasarkan warna pada gambar tadi. Ciri ini pada OnePlus digelar sebagai Workshop.

Menariknya pada peranti Samsung, imej latar pada kunci skrin turut akan menerima sokongan kesan visual cuaca masa nyata. Peranti Samsung juga dilaporkan akan memasarkan Galaxy S24 sebagai telefon AI pertama. One UI 6.1 dikatakan akan dilancarkan bersama-sama dengan Samsung Galaxy S24 yang dijangka tiba pada 17 Januari nanti.