Onn Hafiz buat laporan polis dan MCMC terhadap akaun sosial sebar fitnah projek pembangunan di Johor

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Onn Hafiz buat laporan polis dan MCMC terhadap akaun sosial sebar fitnah projek pembangunan di Johor Image from: Onn Hafiz buat laporan polis dan MCMC terhadap akaun sosial sebar fitnah projek pembangunan di Johor amree16/11/2026 - 12:10 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov — Dakwaan mencurigakan yang membabitkan projek pembangunan tertentu dan kemudahan awam di Johor, mendorong Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat laporan polis serta aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

Beliau berkata, beberapa akaun media sosial dikesan memuat naik pelbagai dakwaan dan tuduhan yang disifatkan sebagai fitnah berkaitan dengan beberapa projek pembangunan di negeri itu termasuk kononnya tender ditawarkan bernilai ratusan juta ringgit.

 

Menurutnya, perkara berkenaan turut menimbulkan kecurigaan kerana kebanyakan hantaran tersebut menggunakan ayat dan naratif hampir sama, selain menyebut nama syarikat-syarikat tertentu yang dianggap sebagai pelik serta meragukan.

 

Malah ujar Onn Hafiz, sebahagian besar akaun media sosial terbabit juga didapati langsung tidak mempunyai sebarang pengikut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan identiti dan tujuan sebenar akaun berkenaan diwujudkan.

 

"Saya sentiasa terbuka menerima teguran, kritikan dan aduan daripada Bangsa Johor, malah memberi jaminan setiap aduan akan disemak serta diambil tindakan sewajarnya," jelas beliau dalam hantaran menerusi akaun Facebook rasmi pemimpin tersebut pada Isnin.

 

Bagaimanapun, katanya, tindakan pihak tersebut yang menggunakan akaun palsu untuk mereka-reka cerita atau menyebarkan maklumat tidak benar bagi menghasut rakyat disifatkan sebagai tidak boleh dipandang ringan.

 

Menteri Besar Johor_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Tambah Onn Hafiz, laporan polis dan aduan rasmi kepada MCMC sudah dibuat bagi membolehkan siasatan secara lanjut dapat dijalankan, termasuk meneliti kesahihan akaun, kandungan yang disebarkan serta kemungkinan wujud aktiviti secara berkoordinasi.

 

Dalam hantaran berkenaan, beliau turut mengingatkan pengguna media sosial supaya mengamalkan budaya politik yang matang dan secara bertanggungjawab, khususnya ketika musim kempen pilihan raya.

 

"Perbezaan pandangan, kritikan dan ketidaksetujuan merupakan perkara yang biasa, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau mengelirukan rakyat," jelas beliau.

 

Onn Hafiz turut menasihatkan seluruh Bangsa Johor supaya berhati-hati serta terus menyemak teliti kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya pula kepada orang lain.

 

Justeru, beliau berharap tindakan sewajarnya dapat diambil hasil siasatan pihak berkuasa bagi memastikan penyebaran maklumat tidak benar tidak menjejaskan keharmonian dan kemakmuran negeri Johor.

 

"Semoga Allah SWT sentiasa melindungi negeri Johor yang kita cintai ini daripada segala fitnah, hasad dengki dan niat buruk yang boleh menggugat keharmonian serta kemakmuran Bangsa Johor. Insya-Allah," tegas beliau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved