ONSA 2025 bermula hari ini: Tempoh sebulan buat pengguna bawah 16 tahun sebelum tindakan diambil

LocalTechnology
1 Jun 2026 • 3:21 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: ONSA 2025 bermula hari ini: Tempoh sebulan buat pengguna bawah 16 tahun sebelum tindakan diambil

PUTRAJAYA — Langkah penguatkuasaan pengesahan umur bawah 16 tahun di media sosial mula berkuat kuasa hari ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan semua pengguna bawah umur yang dikenal pasti akan diberikan tempoh sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka termasuk foto dan video sebelum sebarang tindakan sekatan atau penggantungan dikenakan oleh platform.

“Pengguna sedia ada yang dikenal pasti berumur di bawah 16 tahun akan diberikan satu bulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka, termasuk gambar dan video, sebelum sebarang sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan oleh penyedia perkhidmatan media sosial yang berkaitan,” kata MCMC dalam kenyataan.

Bagi pengguna sedia ada, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga enam bulan oleh penyedia perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Keperluan pengesahan umur kini mandatori di bawah Child Protection Code (CPC) dan Risk Mitigation Code (RMC), yang mewajibkan platform memastikan hanya pengguna berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan mengakses ciri perkhidmatan.

MCMC menjelaskan CPC menuntut langkah “child safety by design” serta perlindungan mesra kanak-kanak dalam ekosistem digital negara, manakala RMC pula mewajibkan penilaian risiko, moderasi kandungan, kawalan keselamatan pengguna dan akauntabiliti platform.

“Pengesahan umur hendaklah dibuat berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia atau rekod setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

MCMC memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan ini dan akan mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya selaras dengan undang-undang.

Suruhanjaya itu akan terus bekerjasama rapat dengan pihak industri dan komuniti bagi membina persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Maklumat lanjut mengenai CPC dan RMC, sila rujuk Soalan-soalan Lazim menerusi https://mcmc.gov.my/en/onsa/resources/frequently-asked-questions atau https://www.mcmc.gov.my/en/onsa/under-16. - 1 Jun, 2026

The post ONSA 2025 bermula hari ini: Tempoh sebulan buat pengguna bawah 16 tahun sebelum tindakan diambil appeared first on Scoop.