Kes e-waste: Kertas siasatan dua pegawai kanan JAS dikemuka kepada AGC

LocalEnvironment
25 Mar 2026 • 6:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azam

PUTRAJAYA – Kertas siasatan melibatkan dua pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung isu e-waste dan sisa plastik telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk pertuduhan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan berkenaan melibatkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS yang didakwa terlibat dalam salah laku berkaitan pengurusan sisa berkenaan.

"Kita kini menunggu keputusan AGC berhubung tindakan lanjut termasuk pelaksanaan pertuduhan terhadap kedua-dua individu terbabit dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azam berkata, kertas siasatan terhadap Ketua Pengarah JAS telah dibentangkan pada 26 Februari, manakala Timbalan Ketua Pengarah JAS pada 6 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, isu pengurusan e-waste dan sisa plastik merupakan antara cabaran berpanjangan yang memberi kesan kepada alam sekitar serta kesejahteraan penduduk, khususnya di kawasan yang terlibat dengan aktiviti pelupusan dan pemprosesan tidak teratur.

Katanya, pelbagai aduan berkaitan pencemaran udara, air dan tanah telah diterima sebelum ini, sekali gus mendorong tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil.

“Masalah e-waste dan sisa plastik sudah lama dihadapi rakyat dan tidak dapat diselesaikan walaupun banyak aduan pencemaran dibuat. Akhirnya SPRM bertindak menyiasat dan menahan mereka yang diamanahkan untuk melindungi alam sekitar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang elemen rasuah dalam pengurusan sisa bukan sahaja menjejaskan integriti agensi terlibat, malah boleh memberi implikasi besar terhadap kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam.

Dalam perkembangan sama, SPRM turut mengetuai Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Import Sisa Plastik dan E-Waste yang melibatkan 12 agensi penguatkuasaan.

Antara langkah utama diputuskan ialah pengimportan e-waste diharamkan sepenuhnya dan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 berkuat kuasa 4 Februari 2026.

Penubuhan pasukan petugas khas itu susulan penemuan serius berkaitan penyeludupan sisa elektronik, termasuk laporan ratusan kontena e-waste yang tersadai di pelabuhan dan berpotensi mencemarkan alam sekitar.

Pasukan tersebut melibatkan agensi seperti JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta Polis Diraja Malaysia bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.