IPOH: Polis menahan empat individu termasuk dua wanita serta merampas pelbagai rokok dan minuman keras disyaki tidak bercukai dalam serbuan berasingan di Gerik dan Pengkalan Hulu, semalam.
Kesemua suspek berusia antara 36 hingga 57 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan menerusi Op Kontraban Mega yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan pertama pada pukul 5 petang di sebuah premis perniagaan di Jalan Taufil, Pengkalan Hulu menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok disyaki tidak bercukai yang disimpan di bawah rak barangan runcit.
Katanya, dalam serbuan itu, dua wanita tempatan berusia 57 dan 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Nilai rampasan dianggarkan RM32,117 melibatkan minuman keras bernilai RM3,917 dan rokok bernilai RM28,200,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam serbuan kedua pada pukul 7 malam di sebuah premis perniagaan di Jalan Iskandar, Pengkalan Hulu pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang merupakan pemilik premis.
Katanya, pemeriksaan di stor premis itu turut menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok disyaki tidak bercukai.
“Nilai keseluruhan rampasan bagi serbuan kedua dianggarkan berjumlah RM32,694.80, melibatkan minuman keras bernilai RM10,154.80 dan rokok bernilai RM22,540,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Alwi berkata, dalam operasi berasingan di Gerik pada pukul 10.10 pagi, sepasukan polis menahan sebuah kereta Toyota Vios berwarna perak dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Padang Kunyit.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 100 karton rokok disyaki tidak bercukai terdiri daripada 50 karton jenama John dan 50 karton jenama D&J.
“Turut dirampas sebuah Toyota Vios yang dipercayai digunakan bagi kegiatan itu bersama seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut selain dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis. – UTUSAN
The post Op Kontraban Mega: Empat termasuk dua wanita dicekup appeared first on Utusan Malaysia.



