Pembantu rumah Indonesia dipenjara 4 tahun abai kanak-kanak hingga lemas

LocalFamily & Parenting
7 Aug 2026 • 3:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pembantu rumah Indonesia dipenjara 4 tahun abai kanak-kanak hingga lemas

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah Indonesia dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sehingga menyebabkan kematiannya, bulan lalu.

Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita berkenaan, Wahyuni Tanjung, 44, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu 29 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, Wahyuni sebagai orang yang mempunyai hubungan pemeliharaan kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan, telah melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kematiannya di kolam renang dewasa sebuah residensi di Sentul dekat sini, antara pukul 6 dan 7 petang, 28 Julai lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sampai 20 tahun atau kedua-dua sekali.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ibu mangsa meminta tertuduh yang merupakan pembantu rumahnya, membawa mangsa bersama abang kanak-kanak itu berusia lima tahun, mandi di kolam renang di residensi tersebut.

Kira-kira pukul 7 malam, tertuduh menghubungi ibu mangsa memaklumkan mangsa lemas dan telah diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh orang awam sebelum dibawa ke Hospital Selayang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 4 pagi keesokan harinya dan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian adalah konsisten dengan lemas.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh yang baharu bekerja selama sebulan didakwa membawa mangsa dan abangnya ke kolam renang dewasa tanpa sebarang alat bantuan renang atau pelampung walaupun mengetahui kedua-duanya tidak boleh berenang, selain meninggalkan mereka tanpa pengawasan apabila dia pergi ke tandas.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Md Subri Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan penjaga kanak-kanak lain.

“Tertuduh sebagai orang yang digaji oleh majikannya untuk bekerja dan membantu menjaga kanak-kanak, tidak sepatutnya meninggalkan mangsa dan abangnya yang masih kecil tanpa pengawasan yang sepatutnya.

“Mohon mahkamah mengambil kira keseriusan jenayah yang dilakukan sehingga meragut nyawa mangsa yang sepatutnya berpeluang untuk hidup lebih lama,” katanya.

Tertuduh yang kelihatan sebak semasa ditunjukkan gambar laporan bedah siasat mangsa tidak merayu untuk pengurangan hukuman, namun memaklumkan kepada mahkamah, suaminya telah meninggal dunia 14 tahun lepas dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun di Indonesia.

Wahyuni turut bertanya sama ada dia boleh menjalani hukuman penjara di Indonesia, namun mahkamah menjelaskan tertuduh perlu menjalani pemenjaraan di negara ini kerana kesalahan berlaku di Malaysia. – UTUSAN

The post Pembantu rumah Indonesia dipenjara 4 tahun abai kanak-kanak hingga lemas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved