
OpenAI kini dilaporkan tidak begitu gembira dengan kerjasama mereka bersama Apple dalam mengintegrasikan ChatGPT pada penawaran perisian Apple, dan sedang pertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Apple.

Untuk makluman, sebelum ini Apple telah umum kerjasama dengan OpenAI, dalam membolehkan ChatGPT diintegrasi terus pada iPhone dan Mac, sekaligus memudahkan pengguna peranti berkenaan dengan mudah mengaksesnya apabila diperlukan. Walaubagaimanapun, ciri berkenaan dilihat tidak dipromosikan dengan betul oleh Apple, dan kerjasama ini yang pada awalnya disasarkan membawa angka pengguna dan pendapatan tinggi kepada OpenAI tidak berlaku.
Disamping itu, baru-baru ini juga Apple telah mengumumkan kerjasama dengan Google dalam membangunkan sokongan kecerdasan buatan untuk Siri, dan bukannya bersama OpenAI. Apple juga dilaporkan sedang dalam usaha untuk mengintegrasikan sokongan akses model kecerdasan buatan janaan yang lain, sekaligus akan membuatkan OpenAI kehilangan hak dan akses eksklusif mereka melalui peranti Apple.
Pada masa yang sama, Apple dikatakan mempunyai kebimbangan mereka tersendiri terhadap OpenAI, termasuk piawaian privasi mereka, selain langkah OpenAI memasuki arena peranti yang dilihat bersaing dengan Apple.
Buat masa ini, ia tidak diketahui sama ada OpenAI akan memfailkan saman ke atas Apple atau akan sekadar membatalkan kontrak dan menyelesaikannya luar mahkamah sahaja.






