OpenAI sedia menjadi salah satu nama yang sering disebut ramai kebelakangan ini, apatah lagi dengan penawaran ChatGPT dan beberapa yang lain. Buat masa ini, OpenAI masih jauh daripada mencapai keuntungan, membuatkan mereka perlu mendapatkan suntikan dana pelaburan dalam terus membangunkan dan mengembangkan produk dan perkhidmatan.
Terbaru, ia dilaporkan OpenAI dalam proses untuk meraih dana berjumlah sehingga $40 bilion, pada nilai syarikat mencapai sehingga $340 bilion. Sebelum ini sendiri, kita telah mendengar laporan mengatakan SoftBank ingin melabur sehingga $25 bilion dalam suntikan dana pelaburan baharu ke OpenAI.
Kali terakhir OpenAI menerima pelaburan, ia dinilaikan sekitar $157 bilion. Ini sekaligus memperlihatkan peningkatan hampir sekali ganda berbanding sebelumnya.
OpenAI dijangka menggunakan sebahagian dana ini untuk tujuan pelaburan bagi projek pembangunan infastruktur di Amerika Syarikat, dinamakan Stargate – yang turut menerima sokongan Oracle dan SoftBank. Disamping itu, dengan pelbagai persaingan dalam arena kecerdasan buatan, OpenAI dijangka akan terus melakukan pelaburan dalam pembangunan dan penawaran mereka dalam mencapai fasa AGI.
Buat masa ini, pelabur lain yang terlibat pada suntikan dana baharu ini tidak diketahui lagi.

