
OpenAI menghentikan sementara pembinaan pusat data kecerdasan buatan (AI) Stargate di United Kingdom kerana kos tinggi dan peraturan yang dikatakan tidak mesra inovasi. Projek ini diumumkan tahun lalu dengan menelan belanja £31 bilion serta melibatkan syarikat Nvidia dan Nscale.
Semasa diumumkan, Stargate UK dirancang dibina di timur laut UK dengan ia disifatkan sebagai langkah besar dalam kerjasama teknologi AS–UK pada waktu yang sama mengukuhkan kemampuan UK membangunkan serta mengawal infrastruktur AI sendiri.

Walaupun dihentikan, OpenAI masih terbuka untuk meneruskannya di masa hadapan apabila situasi lebih sesuai. Jurucakap kerajaan UK pula berkata mereka masih bekerjasama dengan OpenAI untuk mengukuhkan kapasiti perkomputeran negara.
Penghentian projek ini dilakukan dalam situasi OpenAI menghadapi pelbagai isu mengenai kemampuan syarikat untuk jangka masa panjang. Bulan lalu, OpenAI menghentikan Sora kerana dilaporkan menanggung kos $15 juta sehari untuk beroperasi dengan pendapatan yang dijana pula terlalu rendah. Pusat data OpenAI yang turut mengalami kelewatan dengan rakan teknologi mereka Oracle telah membuang 30,000 pekerja untuk menanggung kos pembinaan pusat-pusat data AI.


