
Sora, platform media sosial yang hanya memaparkan video yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) generatif akan menghentikan operasi walaupun baru sahaja dilancarkan pada Oktober tahun lalu. OpenAI tidak memberikan sebab mengapa Sora dihentikan secara mengejut pada waktu ini.
Menurut perkongsian di media sosial, Sora akan berkongsi bagaimana video yang dijana pengguna boleh di muat turun untuk simpanan peribadi. Sora menjadi aplikasi pertama OpenAI yang dihentikan pasca pelancarannya. Penutupan Sora mempunyai persamaan dengan platform video pendek Quibi yang ditutup enam bulan selepas dilancarkan.

Di peringkat awal ia menjadi aplikasi tular kerana kebolehan menjana video pendek yang kelihatan realistik sehingga menerima surat saman daripada studio filem utama disebabkan pelanggaran harta intelek.
Sungguhpun begitu ia menjadi pemangkin untuk Disney melakukan pelaburan $1 bilion ke dalam OpenAI bagi menggunakan teknologi Sora. Menurut laporan Hollywood Reporter, disebabkan penutupan Sora hari ini Disney tidak akan meneruskan pelaburan yang dijanjikan Disember tahun lalu.
Walaupun tular dengan jumlah pengguna yang tinggi, tidak ramai pengguna yang melakukan langganan. OpenAI dilaporkan rugi $15 juta sehari kerana video dijana secara percuma. Dengan tekanan ekonomi disebabkan konflik Timur Tengah serta OpenAI melakukan pelaburan besar membina pusat data, terus membakar duit menerusi Sora mungkin bukan pilihan terbaik.





