OpenAI telah memperkenalkan beberapa teknologi baru dalam dua minggu ini, selepas pelancaran DeepSeek, dan terkini, mereka telah memperlihatkan penjenamaan baru pada laman web mereka, dan juga telah memperkenalkan mukataip mereka tersendiri yang dinamakan OpenAI Sans.

Bukan itu sahaja, logo “Blossom” mereka, yang direka oleh Ilya Sutskever (yang telah meninggalkan OpenAI) dan Greg Brockman apabila mereka dan Sam Altman memulakan syarikat tersebut juga memperlihatkan olahan semula yang menggunakan grid baharu.

Penjenamaan baru OpenAI ini, menariknya dilakukan oleh pasukan manusia yang terdiri daripada Veit Moeller, ketua rekaan dan Shannon Jager, pengarah rekaan di OpenAI, bersama-sama dengan syarikat rekaan taipmuka ABC Dinamo dan sebuah lagi syarikat rekaan, Studio Dumbar.
Penjenamaan baru ini bukan dilakukan untuk suka-suka. Moeller dan Jager mengatakan bahawa penjenamaan baru ini membolehkan OpenAI untuk menyelarikan perkhidmatan mereka dengan mukataip yang sama dan tidak bercampur-aduk seperti sebelum ini.

OpenAI Sans juga dilihat akan menyokong lebih banyak teks dan bahasa di masa akan datang, sekaligus memperlihatkan kebolehan syarikat tersebut untuk menyelarikan LLM dan perkhidmatan AI mereka untuk digunakan dalam pelbagai senario.

Jika anda ke laman web OpenAI, anda boleh melihat penggunaan mukataip OpenAI Sans ini dan berinteraksi dengannya.


