IPOH - Operasi mencari seorang anggota pasukan bomba sukarela (PBS) yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik di kawasan Lahat Mines di sini diteruskan pada Isnin dengan melibatkan pelbagai agensi penyelamat.
Kejadian sekitar jam 7.10 malam pada Ahad itu berlaku ketika mangsa, Jun Cheng Siew, 25, dari PBS Menglembu menjalankan aktiviti latihan dan pengujian bot bersama beberapa anggota PBS yang lain.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung semula bermula jam 8 pagi dengan skala lebih besar.
Menurutnya, antara tindakan yang dirancang termasuk pencarian di permukaan air menggunakan dua bot aluminium dan tiga bot fiber.
“Selain itu, penggunaan dron, sensor sonar serta bantuan daripada pasukan PBS juga akan digunakan dalam operasi hari ini (Isnin)," katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut dipohon bagi membantu operasi pencarian.
"Pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) juga akan menjalankan operasi selaman di kawasan yang dianggarkan antara 100 hingga 150 meter dari tebing tasik dengan kedalaman sekitar 15 meter, iaitu lokasi yang dipercayai mangsa tenggelam," katanya.
**media[3457190]**
Sabarodzi berkata, berdasarkan maklumat diterima, mangsa tidak memakai Personal Flotation Device (PFD) atau jaket keselamatan semasa kejadian berlaku.
"Pada peringkat awal latihan dimaklumkan mangsa memakai PFD. Bagaimanapun setelah latihan hampir selesai, mangsa kembali menaiki bot tanpa memakai alat keselamatan berkenaan," katanya.
Latihan dan pengujian bot tersebut bermula sekitar jam 4 petang dan melibatkan seramai 16 anggota dari PBS Menglembu, PBS Pekan Baru serta PBS Pasir Pinji dengan menggunakan tiga bot.
Operasi pencarian awal pada Ahad melibatkan 14 anggota bomba serta 16 anggota PBS dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 13 anggota dan tiga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi turut menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta tiga bot fiber.
Anggota PPDA turut melakukan tinjauan di lokasi kejadian dengan menjalankan ujian kedalaman air menggunakan alat depth finder di kawasan dipercayai mangsa tenggelam.
Selain itu, operasi pencarian di permukaan air turut dijalankan dengan seorang saksi turut melakukan pencarian di kawasan mangsa dipercayai terjatuh.
Operasi pencarian bagaimanapun dihentikan sementara pada jam 1.02 pagi.


