
TAWAU: Seramai 41 warga China, yang didakwa terbabit dalam sindiket penipuan insurans dalam talian di sebuah pusat peranginan di daerah ini pada April lalu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.
Zhou Qiliang bersama 40 lagi tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan pindaan, mereka bersama 39 lagi individu yang telah melarikan diri didakwa, dengan niat bersama, terlibat dalam pakatan jenayah bagi memperdaya mangsa menerusi penipuan insurans melalui panggilan telefon dan video dengan menyamar sebagai anggota polis China, satu kesalahan yang melanggar Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat peranginan di Tawau pada kira-kira 9.25 malam, 7 April 2026.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau lebih.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, manakala beberapa tertuduh diwakili peguam Jhesseny P. Kang dan Chen Wen Jye.
Mahkamah menetapkan 12 hingga 16 Oktober depan sebagai tarikh perbicaraan.
Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan waran tangkap terhadap 39 daripada 80 tertuduh selepas mereka gagal hadir pada prosiding sebutan semula permohonan semakan syarat jaminan dan dipercayai melarikan diri.
Waran tangkap itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos selepas mereka sekali lagi gagal hadir di mahkamah, selain membatalkan jaminan dan memerintahkan wang jaminan mereka dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Sebelum itu, Mahkamah Tinggi memperketat syarat jaminan terhadap 80 tertuduh terdiri daripada 78 warga China, termasuk empat wanita, serta masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos dengan mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan mewajibkan mereka melapor diri secara berkala di balai polis.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret pada hari sama, waran tangkap turut dikeluarkan terhadap 41 tertuduh kerana gagal hadir bagi prosiding serahan dokumen.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan sama, iaitu 12 hingga 16 Oktober, bagi 42 tertuduh yang hadir dan telah menerima dokumen pertuduhan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pada 15 April lalu, mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin selepas mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pakatan jenayah, memandangkan kesalahan itu merupakan kes yang boleh dijamin.





