MELAKA - Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Selasa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 10 dan lapan tahun, bulan ini.
Tertuduh, Aziz Mohammad @ Teh Eng Guan, 73, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh tersebut terhadap mangsa berusia 10 tahun di dalam bilik stor sebuah masjid di Semabok, sekitar jam 1.05 tengah hari pada 15 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di lokasi sama, sekitar jam 1.05 tengah hari pada 22 Jun lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Rif'ah 'Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam bela, Amritpal Singh, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih menanggung seorang anak perempuan autisme selain tertuduh turut menghidap penyakit kencing manis kronik yang memerlukan rawatan berterusan.
Menurutnya, tertuduh tiada pendapatan tetap hanya tinggal dan membantu menguruskan masjid berkenaan, manakala keluarganya hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM5,000.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.






