Operasi Tiris 4.0: Rampasan cecah RM23.1 juta, 161 individu ditahan

10 May 2026 • 3:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Operasi Tiris 4.0: Rampasan cecah RM23.1 juta, 161 individu ditahan
Azman (dua dari kiri) ketika menyampaikan anugerah kecemerlangan KPDN negeri sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa ke-54 peringkat KPDN Negeri Terengganu pada Ahad.

​MARANG - Operasi Tiris 4.0 (Bersepadu) mencatatkan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM23.1 juta di seluruh negara sehingga Sabtu.

​Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, statistik tersebut melibatkan 42,894 pemeriksaan di pelbagai premis serta lokasi strategik.

​Menurut beliau, daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 556 kes melibatkan penyelewengan diesel, petrol dan gas petroleum cecair (LPG) telah direkodkan.

​"Seramai 161 individu telah ditahan bagi membantu siasatan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM23,172,355.91.

​"Penyelewengan diesel mendominasi statistik dengan 249 kes, manakala petrol pula mencatatkan 119 kes," katanya.

​Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa ke-54 peringkat KPDN Negeri Terengganu di sini yang turut dihadiri Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat.

​Mengulas lanjut mengenai pecahan kes mengikut negeri, Azman mendedahkan Sarawak merekodkan kes penyelewengan diesel tertinggi iaitu sebanyak 91 kes, diikuti Sabah dan Johor.

​Bagi petrol pula, Kelantan mencatatkan jumlah kes tertinggi diikuti Sabah, manakala Sabah turut mendahului statistik bagi kes LPG, diikuti Kedah.

​"Secara keseluruhan, hampir semua kategori kes tertinggi dikesan di Sabah. Hal ini menunjukkan perlunya kerjasama lebih menyeluruh antara kementerian dan agensi penguat kuasa," jelasnya.

​Tambah beliau, kejayaan tersebut adalah hasil sinergi strategik antara KPDN yang menerajui operasi di daratan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan sempadan dan perairan.

​"Sebanyak 242 kes merupakan serahan daripada agensi lain, di mana Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan serahan tertinggi iaitu 132 kes, diikuti Pasukan Polis Marin (PPM) sebanyak 67 kes dan PDRM 33 kes," katanya.

​Sementara itu, prestasi di peringkat Terengganu turut menunjukkan trend positif dengan 1,433 pemeriksaan dijalankan setakat semalam (Sabtu).

​Menurut Azman, sebanyak 11 tindakan kes telah direkodkan di negeri tersebut melibatkan nilai rampasan RM211,341.10, dengan diesel mencatatkan kes tertinggi iaitu empat kes.

​Katanya, kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti manipulasi barang kawalan.

​"Tindakan tegas menanti pelaku mengikut peruntukan undang-undang. Kami juga menyeru orang ramai menyokong inisiatif KITA GEMPUR dengan menjadi 'mata dan telinga' kerajaan bagi menyalurkan maklumat aktiviti mencurigakan," jelasnya lagi.

-ENDS-