amree29/10/2026 - 12:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt — Pengendali bas ekspres terkemuka dari Malaysia dan Singapura diberi pendedahan eksklusif meninjau sendiri teknologi pembuatan serta keupayaan kejuruteraan canggih MAN Truck & Bus menerusi lawatan khas ke Jerman dan Türkiye.
Program selama tujuh hari itu dianjurkan kumpulan tersebut bagi memperkukuh keyakinan pelaburan pengendali bas terhadap armada bas dan koc jenama MAN menerusi pemahaman terperinci berhubung isu standard kualiti global syarikat global berkenaan.
Menurut kenyataan, para peserta tersebut dibawakan khas melawat ibu pejabat MAN di Munich, kilang utama di Nuremberg, yang kedua-duanya terletak di Jerman, serta fasiliti pengeluaran bas moden di Ankara, Türkiye.
"Inisiatif ini membolehkan pemain industri menilai sendiri aspek kritikal seperti keselesaan penumpang, kecekapan bahan api, serta penjimatan kos operasi jangka panjang sebelum membuat keputusan pembelian kenderaan," jelasnya.

Sepanjang lawatan itu, delegasi diberi pendedahan mengenai teknologi keselamatan terbaharu untuk pemandu dan penumpang, sistem pengurusan armada digital, serta inovasi bas elektrik bateri (eBus).
Ketua Bas MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia), Anvar Kasimov berkata, lawatan berkenaan turut menjadi platform penting bagi pasukan jualan dan kejuruteraan syarikat bagi mendapatkan maklum balas secara terus daripada pengendali bas.
Pertukaran pandangan secara langsung ini membolehkan pihak pengurusan MAN dapat menyesuaikan rumusan mobiliti mereka mengikut keperluan operasi semasa serta cabaran pasaran di rantau Asia.
Pengarah Urusan MAN Malaysia, Marc Appelt pula menegaskan komitmen syarikat untuk terus menyokong perniagaan pengendali bas tempatan menerusi tawaran perkhidmatan selepas jualan yang kukuh dan kos operasi yang mudah dirancang.

"Casis bas dan koc premium MAN direka khas untuk mengimbangi tahap prestasi tinggi, kecekapan bahan api, serta matlamat kelestarian alam sekitar," jelas beliau.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Pancaran Matahari Travel & Tours Sdn Bhd, Mohd Kaharuddin Salleh mengakui pengalaman memandu uji bas canggih di Ankara meningkatkan lagi keyakinannya terhadap kualiti jenama MAN.
Pendedahan secara langsung kepada proses pembuatan bertaraf dunia ini mengukuhkan lagi hubungan strategik antara pengendali pengangkutan awam serantau dan MAN dalam memodenkan sektor mobiliti darat. - DagangNews.com




