PERLIS – Cuaca buruk seawal jam 3 pagi mencemaskan penganjur pertandingan memancing GP Joran Perlis yang berlangsung di Pantai Berembang pada Sabtu.
Angin kencang disusuli hujan lebat menyebabkan kawasan khemah peserta digenangi air, namun pertandingan yang dijadualkan bermula jam 10 pagi tetap diteruskan atas komitmen tinggi penganjur dan peserta.
Presiden Kelab Memancing Geng Pancing Unik (GPU), Wan Mohd Fitri Wan Shahidan berkata, pihaknya berdepan dilema sama ada mahu meneruskan atau membatalkan acara tersebut pada sebelah pagi.
Menurutnya, keputusan untuk meneruskan pertandingan dibuat selepas mengambil kira kehadiran ramai peserta dari pelbagai negeri termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
“Berikutan ramai rakan pemancing telah hadir ke lokasi, pihak kami mengambil keputusan untuk meneruskan acara ini dengan nasihat supaya semua peserta menjaga keselamatan diri serta keluarga,” katanya.
Meskipun keadaan air pasang besar dan ombak melimpah ke pantai, ia tidak menghalang Aidil Syukri Md Daud, 28, dari Pulau Pinang untuk muncul juara selepas berjaya menaikkan ikan belukang seberat 1.72 kilogram pada jam 12.10 tengah hari.
**media[3524094]**
Kemenangan itu sekali gus menewaskan lebih 200 peserta lain yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Tempat kedua dimenangi Rozairi Zainol, 29, dari Perlis dengan tangkapan belukang seberat 1.486kg manakala Suria Mat Sahar, 53, dari Selangor menduduki tempat ketiga selepas menaikkan ikan belukang seberat 1.32kg.
Sebagai juara, Aidil Syukri membawa pulang wang tunai RM5,000, manakala Rozairi menerima RM1,000 dan Suria memperoleh RM500.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Wan Mohd Fitri.
Aidil Syukri yang bekerja sebagai operator kilang di Bayan Lepas berkata, dia tidak menyangka mampu merangkul kejuaraan dalam keadaan cuaca yang mencabar.
“Saya tidak sangka pasukan kami mampu memenangi pertandingan ini sekali lagi di Perlis. Sebelum ini, tiga pertandingan di Perlis dimenangi rakan-rakan saya dari Pulau Pinang dan kali ini rezeki memihak kepada saya pula,” katanya.
Dalam pada itu, pertandingan berkenaan turut mendapat perhatian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) apabila beberapa pegawai serta anggota penguat kuasanya hadir ke lokasi bagi memantau tahap pematuhan kebersihan.
Pemantauan itu dilakukan di bawah Akta 672 berkaitan pengurusan sisa pepejal termasuk kesalahan membuang puntung rokok dan sampah kecil di kawasan awam.
Bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan sepanjang pertandingan berlangsung.
Sementara itu, Wan Mohd Fitri berkata, pihaknya bercadang menganjurkan sekali lagi acara sama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 pada Oktober depan dengan tawaran hadiah lebih lumayan.


