Oppo melancarkan fon telinga nirwayar terbaharu mereka Enco Buds3 untuk pasaran Malaysia pada harga RM129. Fon telinga jenis terbuka ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan putih, serta direka khas untuk pengguna yang mahukan peranti audio harian yang seimbang dari segi prestasi dan ketahanan bateri.

Reka bentuknya yang ringan menjadikan fon telinga ini mudah dibawa ke mana-mana dengan setiap unit hanya seberat 3.8 gram. Dari segi audio, ia dilengkapi sepasang pemacu audio 12.4mm yang mampu menghasilkan julat frekuensi antara 20Hz – 20kHz. Teknologi Oppo Alive Audio turut disertakan untuk pengalaman mendengar lebih imersif, manakala Enco Master membolehkan pengguna menyesuaikan profil audio mengikut citarasa masing-masing.

Enco Buds3 juga menyokong pelbagai kawalan sentuhan termasuk fungsi dwi-ketukan untuk mengambil gambar swafoto secara terus daripada fon telinga. Tambatan pantas dapat dilakukan melalui Bluetooth 5.4 dengan sokongan dwi-peranti secara serentak. Ia turut menyokong ciri AI Translate bagi terjemahan masa nyata.

Enco Buds3 menawarkan jangka hayat bateri 48 jam dengan bantuan pod pengecas. Pratempah dibuka sekarang sehingga 11 Julai 2025 dan berpeluang nikmati rebat segera sebanyak RM50 dengan pembelian bersama produk Oppo terpilih.
