Oppo Find N5 akan dilancarkan di China tidak lama lagi sebagai pengganti Find N3 sebelum ini. Ia dipercayai menawarkan rekaan seumpama buku dengan skrin yang dilipat ke dalam. Selain itu, peranti juga didakwa boleh menjadi telefon lipat paling nipis di dunia dengan ketebalan di bawah 10mm dalam keadaan dilipat.


Beberapa imej sebenar yang didakwa sebagai Find N5 sekali lagi tertiris ke arena web. Namun kali ini dapat dilihat dengan lebih terperinci misalnya bonggol kamera semakin nipis berbanding generasi terdahulu. Turut disertakan adalah butang kuasa, laras audio dan Alert Slider pada bahagian sisi kanan serta kiri peranti. Selain itu mempunyai pengimbas cap jari sisi yang terbina pada butang kuasa.

Skrin sekunder pula menunjukkan sejenis rata dengan sokongan satu lubang kecil di bahagian tengah. Bahagian bawah juga dipercayai memuatkan lubang mikrofon, pembesar suara, port USB-C dan ruang talam SIM. Oppo telah mengesahkan bahawa Find N5 akan menyokong pengecasan nirwayar 50W, dan melepasi penarafan IPX9 untuk kalis air. Namun masih mengambil pendekatan merahsiakan tarikh pelancaran khusus buat masa ini.
