Oppo Mengesahkan Siri Reno13 Akan Dilancarkan Pada Bulan Ini

TechnologyDigital
18 Nov 2024 • 1:12 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Siri Oppo Reno 13 akan dilancarkan di China pada 25 November 2024 iaitu beberapa bulan selepas pelancaran siri Reno 12. Oppo turut mula mengacah kehadirannya melalui beberapa poster rasmi di Weibo. Dalam masa sama mempamerkan reka bentuk yang serupa dengan rangkaian peranti iPhone sekali gus memberi kita gambaran apa yang disediakan oppo untuk generasi kali ini.

Jelas menunjukkan bahawa siri Reno 13 mempunyai kemasan baharu yang lebih moden, segar dan premium untuk memberi pengalaman lebih baik kepada pengguna. Tubuh siri Reno 13 lebih berkotak dengan bahagian sisi dibulatkan. Selain itu mempunyai sistem tri-kamera dalam modul segi empat tepat sama seperti iPhone terkini. Perubahan ini boleh menjadi salah satu cara untuk menarik pengguna terhadap rangkaian peranti Reno. Ini adalah sejajar dengan langkah Oppo yang menggunakan rekaan lebih rata dan berkotak pada peranti Find X8.

Dengan ini Oppo nampaknya cuba memperkemaskan dan menampilkan rekaan lebih baik, dan semestinya hal itu baik-baik sahaja bagi sekumpulan pengguna. Tiada butiran mengenai perkakasan dalaman namun siri Reno 13 dijangka mampu menawarkan pakej yang menarik. Makluman lebih lanjut hanya diketahui selepas pelancaran rasminya pada minggu hadapan. Anda turut boleh membaca artikel rekaan untuk Oppo Find X8 yang diterbitkan sebelum ini.