
KLANG – Taktik licik 22 pekerja warga Indonesia menyamar sebagai pemegang MyKad sah bagi membolehkan bekerja di sebuah kilang getah di Kapar di sini, terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa hari ini.
Kesemua 21 wanita dan seorang lelaki berusia 28 hingga 55 tahun itu dipercayai membeli dan meminjam kad milik orang lain untuk bekerja di premis berkenaan.
Perkara itu dihidu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya yang menggempur kilang berkenaan bersama Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor menerusi Ops Getah, kira-kira pukul 3 petang tadi.
Tinjauan Kosmo! mendapati beberapa pekerja asing cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di dalam kotak dan belakang mesin namun gagal selepas premis itu dikepung pasukan penguat kuasa.
Pengarah Penguatkuasaan JPN, Mazhad Abdul Aziz berkata, serbuan disertai 65 angota termasuk pegawai itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama sebulan berkaitan penyalahgunaan kad pengenalan.
Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap 74 pekerja kilang terbabit termasuk 24 warga tempatan.
“Semakan lanjut mendapati 22 warga Indonesia dipercayai terlibat kesalahan memiliki MyKad palsu dan menggunakan kad milik orang lain untuk mencari kerja.
“Selain itu, JIM memeriksa 28 individu dan 14 daripadanya dikenalpasti melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya yang mengetuai operasi itu. – KOSMO! ONLINE
The post Ops Getah bongkar ‘wajah palsu’ 22 pekerja asing appeared first on Kosmo Digital.





