Kegiatan seludup rokok, arak dan seleweng diesel tumpas

LocalPolitics
7 May 2026 • 2:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kegiatan seludup rokok, arak dan seleweng diesel tumpas
PPM Pelabuhan Klang menumpaskan kegiatan seludup rokok dan minuman keras disyaki tidak bercukai dalam serbuan di Klang pada Rabu. Foto: PPM

KLANG – Kegiatan penyeludupan rokok, arak serta diesel ditumpaskan dengan rampasan bernilai lebih RM220,000 dalam serbuan di sini pada Rabu.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, serbuan pertama kira-kira jam 1.30 petang di sebuah premis di Taman Perindustrian Pandamaran berjaya menahan tiga lelaki Bangladesh berusia antara 34 hingga 40 tahun yang disyaki berperanan sebagai pekerja.

Menurutnya, pemeriksaan menemui pelbagai jenis rokok dan minuman keras yang dipercayai tidak bercukai dengan nilai dianggarkan RM120,294.04.

"Pemeriksaan mendapati tangkapan gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan yang disimpan di premis terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Eksais 1976,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam serbuan kedua kira-kira jam 7 petang di kawasan Perindustrian Meru Selatan, PPM turut berjaya menggagalkan kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Kata Jaffri, hasil maklumat awam pihaknya bertindak menahan sebuah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum tangkapan pemandu lelaki tempatan berusia 34 tahun.

Jelasnya, semasa serbuan, pasukan operasi mendapati berlaku pemindahan diesel dari tangki IBC yang berada di atas lori ke tangki IBC lain di kawasan perindustrian tersebut.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan sebuah lori bonded, dua tangki IBC, 2,000 liter minyak diesel, sebuah pam minyak dan dua hos dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM100,740," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan berkaitan ketirisan subsidi minyak diesel.

Tegasnya, masyarakat diseru terus bekerjasama dengan pihak polis dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan ketirisan barang kawalan.