
KUNAK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenakan kompaun serta-merta ke atas sebuah premis perniagaan di pekan Kunak selepas didapati gagal meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.
Tindakan itu diambil dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh KPDN cawangan Semporna di sekitar Kunak melibatkan pemeriksaan ke atas pasar raya, kedai runcit serta stesen minyak bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan.
“Kompaun tersebut dikeluarkan dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) atas kesalahan gagal meletakkan label, tag atau tanda harga pada barangan yang dipanerkan untuk jualan di premis berkenaan”, kata kenyataan KPDN Semporna pada Ahad.
Sementara itu hasil pemeriksaan mendapati tiada pengisian petrol atau diesel ke dalam gelen tanpa permit, selain bekalan diesel adalah mencukupi dan tiada aktiviti penjualan tanpa lesen dikesan semasa operasi dijalankan di stesen-stesen minyak.
Dalam masa sama pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan mendapati kebanyakan peniaga mematuhi peraturan termasuk mempamerkan tanda harga, menggunakan alat timbang yang sah serta mematuhi harga minyak masak yang ditetapkan.
Bekalan minyak masak paket juga dilaporkan mencukupi dan mudah diperoleh pengguna.




