Orang Awam Terjun Tasik Universiti Selamatkan Mangsa Kereta Terjunam
Seorang wanita berusia 50 tahun ditemui tidak sedarkan diri manakala anak perempuannya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) terselamat selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik di kawasan kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pagi tadi.
Insiden itu turut tular selepas rakaman video memaparkan orang awam dilihat berenang untuk menyelamatkan mangsa tersebar di media sosial.
https://www.facebook.com/watch/?v=667422972989269
Menurut Komander Operasi, Cristian Olas, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.40 pagi.
Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan kemudiannya segera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang terjunam ke dalam tasik dalam kawasan kampus UNIMAS.
“Terdapat dua mangsa wanita dalam kejadian itu. Seorang mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan dalam keadaan selamat manakala seorang lagi dikeluarkan oleh orang awam namun didapati tidak sedarkan diri,” katanya.
Mangsa yang tidak sedarkan diri itu kemudiannya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, operasi turut melibatkan kerja-kerja menarik keluar kenderaan dari dasar tasik menggunakan tali penyelamat serta bantuan tenaga manusia daripada pasukan bomba.
Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sumber: TV Sarawak
The post Orang Awam Terjun Tasik Universiti Selamatkan Mangsa Kereta Terjunam appeared first on Siakap Keli.



